Ringgit dibuka lebih tinggi pada pagi

KUALA LUMPUR,. Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Selasa, didorong oleh data ekonomi yang lebih baik daripada jangkaan seperti yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), kata peniaga.

Pada 9.03 pagi, mata wang tempatan diniagakan pada 4.1955/2005 berbanding dolar AS daripada 4.1990/2020 ketika ditutup pada Isnin.

DOSM semalam mengumumkan Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia meningkat 9.4 peratus tahun ke tahun pada November 2021 dipacu peningkatan dalam indeks pembuatan, elektrik dan perlombongan.

Peniaga ActivTrades, Dyogenes Rodrigues Diniz, berkata data ekonomi yang baru dikeluarkan mungkin menjadi pemacu utama kenaikan ringgit berbanding dolar AS.

“Dari sudut teknikal, kemungkinan ringgit berbanding dolar AS akan menguji paras 4.2450 dalam beberapa hari akan datang, dengan dijangka menghadapi rintangan sementara,” katanya kepada Bernama.

Semasa dibuka, ringgit diniagakan tinggi kebanyakannya berbanding dengan mata wang utama lain.

Unit tempatan susut berbanding yen kepada 3.6391/6434 daripada 3.6302/6331 ketika ditutup semalam dan naik berbanding dolar Singapura kepada 3.0959/0998 daripada 3.0987/1013.

Ringgit stabil berbanding pound Britain kepada 5.7004/7072 daripada 5.7018/7059, dan meningkat berbanding euro kepada 4.7552/7608 daripada 4.7554/7588.

-BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )