Ringgit dibuka lemah berbanding Dolar AS

KUALA LUMPUR,. Ringgit terus mencatatkan aliran penurunan untuk empat hari berturut-turut untuk dibuka rendah berbanding dolar AS dalam persekitaran jangkaan proses pengurangan yang lebih cepat dan kemungkinan kenaikan kadar oleh Rizab Persekutuan, kata penganalisis.

Pada 9 pagi, unit tempatan susut kepada 4.2130/2160 berbanding dolar AS daripada 4.2095/2135 semalam.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata minit mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) menunjukkan ahli jawatankuasa tidak akan teragak-agak untuk menangani tekanan inflasi, memberi petunjuk bahawa proses pengurangan boleh dipercepatkan dan kenaikan kadar dijangka berlaku lebih awal.

“Semua ini memberikan sokongan kepada dolar AS dengan Indeks Dolar AS (DXY) meningkat sebanyak 0.4 peratus kepada 96.785 mata.

“Oleh itu, ringgit dijangka kekal rendah dengan tumpuan kepada paras halangan semasa pada RM4.245. Pada masa ini, pasangan ringgit-dolar AS dijangka pada sekitar RM4.21 hingga RM4.22,” katanya.

Pada pembukaan, unit tempatan diniagakan bercampur-campur berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia meningkat berbanding pound kepada 5.6210/6250 daripada 5.6235/6288 pada Rabu dan naik berbanding yen Jepun kepada 3.6527/6553 daripada 3.6601/6639.

Bagaimanapun, ringgit merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.0797/0821 daripada 3.0791/0825 semalam dan susut berbanding euro kepada 4.7228/7261 daripada 4.7180/7225 sebelum ini.

– Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )