Ringgit dibuka mengukuh berbanding dolar AS

Ringgit dibuka mengukuh berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR,. Ringgit dibuka lebih tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini dalam dagangan lebih lengang berikutan kekurangan permintaan terhadap unit negara maju tersebut, kata seorang penganalisis.

Pada 9 pagi ini, ringgit diniagakan pada 4.0680/0730 berbanding dolar AS daripada paras 4.0700/0740 pada akhir dagangan Selasa.

Ketua Strategis Pasaran Axi Stephen Innes berkata ringgit diniagakan secara berhati-hati dalam jajaran lebih kecil dan dilihat cuba pulih daripada kesan penurunan penarafan oleh sebuah agensi, baru-baru ini.

“Pada masa sama, agak menghairankan apabila pasaran tukaran asing (FX) tidak memberi sebarang reaksi terhadap kemungkinan rundingan langkah rangsangan (ekonomi) AS. Saya berpendapat bahawa kalangan peniaga berpendirian untuk terus memegang ringgit.

“Aliran momentum FX Asia misalnya agak terjejas dari beberapa sudut termasuk dasar luar AS terhadap China dan kebimbangan mengenainya turut menjejaskan sentimen pada akhir tahun,” katanya kepada Bernama.

Beliau bagaimanapun menyuarakan harapan bahawa harga minyak akan terus meningkat yang dapat melonjakkan lagi prestasi ringgit.

“Jika pasaran minyak sebaliknya menyaksikan prestasi yang mendatar bagi sepanjang minggu ini, ringgit akan menutup dagangan minggu ini dengan lebih rendah,” katanya.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang utama lain.

Ringgit mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0413/0461 daripada 3.0478/0519 sewaktu ditutup pada Selasa dan meningkat berbanding yen Jepun pada 3.9055/9115 daripada 3.9131/9173.

Unit tempatan itu juga menokok berbanding euro kepada 4.9263/9336 daripada 4.9353/9418 pada Selasa namun rendah berbanding pound Britain kepada 5.4397/4480 daripada 5.4335/4396 semalam.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)