Ringgit dibuka mengukuh pada hari ketiga berturut-turut

Oleh Nurul Hanis Izmir

KUALA LUMPUR,. Ringgit dibuka mengukuh berbanding dolar AS untuk hari ketiga berturut-turut hari ini susulan penyusutan unit negara maju itu serta peningkatan harga minyak global.

Pada 9 pagi ini, ringgit meningkat kepada 4.0400/0460 berbanding dolar AS daripada 4.0430/0470 sewaktu ditutup semalam.

Ketua Strategis Pasaran Global Axi Stephen Innes berkata ringgit dijangkakan tidak banyak berubah pada kadar semasa ketika peniaga negara-negara Kumpulan G-10 membincangkan hala tuju dolar AS dalam jangka masa terdekat ini.

Kumpulan itu merangkumi 11 negara industri — Belgium, Kanada, Perancis, Jerman, Itali, Jepun, Belanda, Sweden, Switzerland, United Kingdom dan AS yang saling berunding dan bekerjasama dalam bidang berkaitan ekonomi, monetari dan kewangan.

Sementara itu, Ketua Ahli Ekonomi Juwai IQI Global Shan Saeed berkata keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 1.75 peratus, akan memberi lebih banyak ruang kepada bank pusat itu pada masa akan datang.

“Pendirian status-quo mengenai OPR ini memaparkan bahawa ringgit akan terus mengukuh dan diniagakan sekitar RM4.01 dan RM4.04 brerbanding dolar AS,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, berbanding mata wang utama lain, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi kecuali berbanding yen yang susut kepada 3.8992/9054 daripada 3.8950/8996, semalam.

Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0477/0531 daripada 3.0490/0530 sewaktu ditutup pada Rabu, naik berbanding pound Britain kepada 5.5215/5317 daripada 5.5349/5412 dan mengukuh berbanding euro kepada 4.8945/9033 daripada 4.9025/9082, sebelum ini.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )