Ringgit dibuka renda pada awal dagangan

Ringgit dibuka renda pada awal dagangan

KUALA LUMPUR,. Ringgit meneruskan penyusutan berbanding dolar AS semasa awal dagangan hari ini dalam keadaan pengukuhan mata wang negara maju itu dan situasi terkini politik tempatan yang samar.

Pada 9 pagi, unit tempatan berada pada 4.1660/1750 berbanding 4.1520/1570 ketika ditutup pada Rabu.

Ketua Pakar Strategi Pasaran Global, AxiCorp, Stephen Innes berkata keseluruhan pasaran mengalami minat risiko pegangan yang minimum.

Beliau berkata justeru, dolar AS dilihat kekal menjadi dagangan ke arah lindung nilai, didorong daya tarikannya yang bersifat selamat.

“Ketidakpastian yang belum berakhir dalam situasi politik Malaysia itu semakin ketara semalam. Bagaimanapun pasaran modal Malaysia telah mencapai kematangan sejak dekad lepas dan akan terus dipandu oleh bank pusat yang kukuh.

“Risiko politik jarang berpanjangan. Sekiranya bukan kerana faktor luaran lain, termasuk renminbi China yang lemah dan kejatuhan harga minyak mentah, penjualan ringgit akan semakin berkurangan secara ketara berbanding sebelum ini,” katanya.

Mengenai kesan keputusan Indeks Bon Kerajaan Dunia (WGBI) hari ini ke atas bon Malaysia di FTSE Russell, Innes berkata pasaran telah sedia menjangkakan jika Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) kekal dalam senarai pemantauan.

“Jadi, perkara selain daripada itu akan menjadi kejutan dagangan,” katanya.

Ringgit diniagakan tinggi kebanyakannya berbanding kumpulan mata wang utama.

Unit tempatan naik berbanding dolar Singapura kepada 3.0356/0428 daripada 3.0411/0459 ketika ditutup pada Rabu dan meningkat berbanding yen kepada 3.9526/9615 daripada 3.9539/9598.

Mata wang tempatan stabil berbanding euro kepada 4.8626/8735 daripada 4.8628/8703 ketika ditutup semalam namun turun berbanding pound Britain kepada 5.3029/3152 daripada 5.2872/2944.

– Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )