Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR,. Ringgit dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini berikutan kemungkinan Rizab Persekutuan (Fed) AS akan mengurangkan pembelian bonnya dan jangkaan yang tinggi kemungkiran hutang oleh penggiat hartanah terbesar China, kata seorang penganalisis.

Pada 9 pagi, mata wang tempatan merosot kepada 4.1870/1910 daripada 4.1835/1850 semasa ditutup pada Selasa.

Ketua Ekonomi Bank Islam, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata situasi tidak menentu yang meningkat menyebabkan minat yang tinggi tanpa dijangka terhadap mata wang selamat itu.

“Bagaimanapun, kadar vaksinasi meningkat dengan pesat dan pembukaan semula ekonomi di peringkat global.

“Ini membolehkan Fed AS menarik balik sebahagian, jika bukan semua, daripada rangsangan monetari untuk mencerminkan keadaan ekonomi semasa,” katanya kepada Bernama.

Oleh itu, katanya mungkin terdapat peningkatan semula dalam pergerakan ringgit hari ini.

Pada pembukaan, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ringgit naik berbanding pound kepada 5.7173/7228 daripada 5.7272/7293 semasa ditutup pada Selasa, meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0928/0962 daripada 3.0971/0984 dan menokok kepada 4.9063/9110 berbanding euro daripada 4.9102/9119 semalam.

Bagaimanapun, unit tempatan merosot berbanding yen kepada 3.8321/8362 daripada 3.8181/8198 sebelum ini.

-BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )