Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR,. Ringgit dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat, walaupun penyusutan itu dihadkan oleh harga komoditi yang kukuh.

Pada 9 pagi, mata wang tempatan berada pada 4.1570/1620 berbanding dolar AS daripada 4.1565/1595 ketika ditutup pada Khamis.

Peniaga ActivTrades, Dyogenes Rodrigues Diniz berkata dolar AS disokong oleh data Tuntutan Pengangguran AS.

“Data itu sedikit rendah berbanding jangkaan (ia merekodkan 290,000 berbanding unjuran pada 300,000) yang secara umumnya adalah positif untuk dolar AS. Berikutan angkanya hampir kepada jangkaan maka, data itu tidak mengakibatkan ketidaktentuan ketara dalam pasaran,” katanya.

Beliau berkata bagaimanapun, kenyataan Pengerusi Rizab Persekutuan AS, Jay Powell pada Jumaat mungkin menimbulkan sedikit ketidaktentuan memandangkan beliau boleh memberi isyarat penting mengenai langkah seterusnya dari segi dasar monetari yang akan diambil oleh bank pusat AS itu.

Di peringkat domestik, pelabur tempatan akan memantau rapat data Indeks Harga Pengguna (IHP) yang akan dikeluarkan hari ini, yang memberi maklumat mengenai kadar inflasi dalam negara.

Penganalisis juga menjangkakan IHP negara meningkat 2.2 peratus berbanding dengan 2.0 peratus pada Ogos.

Ringgit diniagakan tinggi berbanding mata wang utama pada awal dagangan Jumaat.

Unit tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0873/0912 daripada 3.0908/0933 ketika ditutup pada Khamis dan naik berbanding yen kepada 3.6433/6477 daripad 3.6441/6471.

Ringgit stabil berbanding pound Britain kepada 5.7325/7394 daripada 5.7360/7401 dan tinggi berbanding euro kepada 4.8325/8383 daripada 4.8386/8421.

– Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )