Ringgit dibuka rendah berbanding Dolar AS

KUALA LUMPUR,. Nilai ringgit terus menyusut berbanding dolar AS dan dibuka rendah pada urus niaga sesi pagi Selasa dengan permintaan kukuh terhadap dolar AS terus menyokong mata wang berkenaan, kata seorang penganalisis.

Pada 9 pagi, nilai mata wang tempatan lebih rendah pada 4.1860/1895 berbanding dolar AS daripada 4.1850/1880 semasa ditutup petang Isnin.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata dolar AS terus mendapat rangsangan semalaman selepas Jerome Powell dicalon semula sebagai pengerusi Rizab Persekutuan untuk tempoh empat tahun lagi.

“Ini bermakna kesinambungan dalam penggubalan dasar. Sementara itu, pada tahap yang besar, naratif kadar faedah yang lebih tinggi kekal utuh dan ia boleh berlaku lebih awal daripada jangkaan,” katanya.

Beliau menambah peningkatan kes COVID-19 di Eropah turut membantu meningkatkan nilai dolar AS apabila sentimen menolak risiko semakin berleluasa.

“Kadar pertukaran dolar AS berbanding ringgit pada dasarnya telah melepasi tahap rintangan RM4.1862 dan tahap rintangan seterusnya ialah pada RM4.245.

“Oleh itu, ringgit boleh didagangkan dalam lingkungan RM4.18 hingga RM4.19 hari ini,” kata Mohd Afzanizam.

Sementara itu, pada pembukaan, mata wang tempatan diniagakan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ringgit meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0669/0699 daripada 3.0734/0758 pada penutup Isnin dan lebih tinggi berbanding euro kepada 4.7051/7090 daripada 4.7207/7241.

Ringgit menokok berbanding pound Britain kepada 5.6097/6143 daripada 5.6196/6236 semalam dan menambah berbanding yen Jepun kepada 3.6467/6500 daripada 3.6669/6698.

– Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )