Ringgit dibuka rendah pada pagi

Ringgit dibuka rendah pada pagi

KUALA LUMPUR,. Nilai ringgit dibuka rendah sedikit untuk hari dagangan ketiga berturut-turut berbanding dolar AS hari ini, menjelang keputusan Rizab Persekutuan AS (Fed) mengenai kadar faedah minggu ini, kata seorang peniaga.

Pada 9 pagi, mata wang tempatan menyusut nilai kepada 4.7260/7310 berbanding dolar AS daripada penutupan Jumaat lepas pada 4.7225/7275.

Dalam satu nota, Kenanga Research berkata walaupun jangkaan kenaikan kadar 75 mata asas oleh Bank of England, kesinambungan kenaikan kadar faedah yang besar oleh Fed dan kelonggaran dasar monetari Bank of Japan mungkin boleh melonjakkan indeks USD (DXY) untuk pulih ke sekitar paras 112.0, justeru melemahkan ringgit.

“Namun begitu, mata wang tempatan dijangka kekal disokong pada sekitar paras 4.73 hingga 4.75, dipacu oleh jangkaan kenaikan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) 2 hingga 3 November ini,” katanya.

Dari sudut teknikal, dolar AS mungkin menebus semula beberapa kerugiannya sekira sentimen pasaran bertukar lebih lemah, kata Kenanga Research.

Pada minggu hadapan, bank pusat AS mungkin akan mengumumkan satu lagi kenaikan kadar 75 mata asas pada hari Rabu, yang akan membawa kadar pinjaman penanda aras kepada empat peratus.

Di dalam negara, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama, kecuali berbanding yen Jepun.

Mata wang tempatan itu menyusut nilai berbanding pound Britain kepada 5.4850/4908 daripada 5.4455/4513 pada penutup Jumaat, turun berbanding dolar Singapura menjadi 3.3470/3510 daripada 3.3436/3474 dan lemah berbanding euro kepada 4.7062/7111 daripada 4.7008/7058 sebelumnya.

Bagaimanapun, ringgit menambah nilai berbanding yen Jepun pada 3.1881/1919 daripada 3.1976/2012 pada hari Jumaat.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)