Ringgit dibuka rendah pada pagi

Ringgit dibuka rendah pada pagi

KUALA LUMPUR,. Ringgit terus lemah rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada sesi awal urus niaga pagi ini apabila susut kepada paras 4.65, terendah dalam tempoh lebih tujuh bulan.

Ia susulan langkah pelabur yang beralih kepada mata wang yang dianggap lebih ‘selamat’ berikutan kebimbangan terhadap prospek ekonomi global, kata pakar ekonomi.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid yang dipetik Bernama, berkata mata wang tempatan masih lemah kerana kebanyakan bank pusat utama dilihat mengambil sikap yang cenderung untuk menaikkan kadar faedah di tengah-tengah persekitaran mudah tunai global yang ketat.

“Pasaran agak cemas kerana Rizab Persekutuan dijangka mengekalkan pendirian monetari yang ketat di sini untuk membendung inflasi.

“Pelabur juga akan memberi perhatian kepada ucapan pengerusi Fed Jerome Powell di hadapan Kongres AS, yang dijangka menyentuh pandangan tentang ekonomi,” katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama yang lain.

Mata wang tempatan menyusut nilai berbanding pound kepada 5.9310/9361 daripada 5.9220/9271 pada penutupan semalam, lebih rendah berbanding yen kepada 3.2810/2840 daripada 3.2751/2781 pada Selasa dan lemah berbanding euro kepada 5.0743/0787 daripada 5.0676/0719 sebelumnya.

Berbanding mata wang Asean yang lain, ringgit bergerak kebanyakannya bercampur-campur.

Ringgit meningkat sedikit berbanding baht Thai kepada 13.3152/3378 daripada 13.3486/3666 semalam tetapi merosot nilai berbanding dolar Singapura kepada 3.4540/4590 daripada 3.4490/4556 sebelumnya.

Nilai mata wang tempatan turut menguncup berbanding rupiah Indonesia kepada 308.9/309.4 daripada 308.5/309.2 pada Selasa dan lemah berbanding peso Filipina pada 8.31/8.33 daripada 8.30/8.32 semalam.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)