Ringgit dibuka rendah pada pagi

Ringgit dibuka rendah pada pagi

KUALA LUMPUR,. Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS hari ini berikutan kekurangan pemangkin baharu mendorong pelabur mengekalkan pegangan dolar AS masing-masing, kata peniaga.

Pada 9 pagi, mata wang tempatan disebut pada 4.1310/1380 berbanding dolar AS daripada 4.1300/1340 ketika ditutup pada Selasa.

Peniaga berkata bagaimanapun, pelabur yakin dolar AS akan mengalami tekanan kerana kadar penanda aras Rizab Persekutuan (Fed) AS kekal tidak berubah pada 0.00 hingga 0.25 peratus seperti yang dijangkakan.

Selain itu harapan yang semakin meningkat terhadap vaksin COVID-19 akan meningkatkan minat pelabur ke atas mata wang berisiko, menurutnya.

Pengerusi Fed, Jerome H. Powell berkata bank pusat itu merancang untuk mengekalkan kadar faedah hampir kepada sifar bagi tempoh sekurang-kurangnya sehingga 2023 dalam usaha untuk mengukuhkan kembali ekonomi dan pasaran tenaga kerja.

Fed telah mengakhiri mesyuarat dasar selama dua hari pada Rabu.

Sementara itu, ringgit diniagakan rendah berbanding mata wang utama lain.

Unit tempatan susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0366/0429 daripada 3.0352/0386 pada Selasa dan turun berbanding yen Jepun kepada 3.9320/9398 daripada 3.9062/9111.

Ringgit lemah berbanding pound Britain kepada 5.3422/3529 daripada 5.3256/3324 bagaimanapun naik berbanding euro kepada 4.8643/8742 daripada 4.9060/9124.

Pasaran tempatan ditutup semalam susulan cuti umum sempena Hari Malaysia.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)