Ringgit dibuka rendah pada pagi

KUALA LUMPUR,. Pengukuhan dolar AS susulan penyusutan minat risiko dalam pasaran ekuiti Amerika Syarikat dan Eropah ekoran kebimbangan terhadap pandemik COVID-19 telah menjejaskan permintaan ke atas ringgit semasa dibuka hari ini.

Pada 9 pagi, unit tempatan susut kepada 4.1300/1400 berbanding dolar AS daripada 4.1200/1250 ketika ditutup pada Isnin.

Ketua Pakar Strategi Pasaran Global, AxiCorp, Stephen Innes berkata sifat dagangan mata wang yang tidak menentu buat masa ini menunjukkan ketika saham AS jatuh, dolar AS pula meningkat, mencerminkan dominasi dolar AS dalam permintaan apabila wujud sentimen risiko yang lemah.

“Melangkah ke hadapan, saya berpandangan ringgit akan terus didagangkan dengan bergantung kepada prestasi renminbi China dan pergerakan harga minyak mentah namun dijangka kekal pada kedudukan defensif menjelang keputusan FTSE Russell mengenai Indeks Bon Kerajaan Dunia (WGBI),” katanya dalam nota penyelidikan.

Pada masa ini, penanda aras minyak mentah Brent diniagakan 0.29 peratus lebih kukuh pada US$41.56 setong.

Ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang utama lain.

Unit tempatan merosot berbanding dolar Singapura kepada 3.0312/0396 daripada 3.0305/0353 ketika ditutup semalam namun naik berbanding pound Britain kepada 5.2930/3067 daripada 5.2942/3010.

Mata wang tempatan susut berbanding euro kepada 4.8594/8728 daripada 4.8546/8617 tetapi kukuh berbanding yen kepada 3.9461/9560 daripada 3.9551/9610.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )