Ringgit dibuka rendah pada pagi

KUALA LUMPUR,. Ringgit dibuka lebih rendah berbanding dolar AS pagi ini kerana kekurangan permintaan selepas mencatatkan peningkatan selama tiga hari berturut-turut minggu lepas di celah-celah pengukuhan harga minyak mentah, kata seorang penganalisis.

Pada pukul 9 pagi, ringgit disebut harga pada 4.0830/0880 berbanding dolar AS daripada 4.0580/0620 ketika ditutup Jumaat lepas.

Ketua Strategi Pasaran Global Axi Stephen Innes berkata kelemahan ringgit pagi ini juga mungkin disebabkan oleh keputusan Fitch Ratings untuk menurunkan penarafan kredit negara Malaysia daripada A-’ kepada ‘BBB+’, dengan tinjauan lebih baik daripada negatif kepada stabil.

“Biasanya, terdapatnya tindak balas negatif yang menyaksikan mata wang menjadi lemah apabila agensi penarafan membuat pengumuman menurunkan penarafan. Bagaimanapun, ia tidak akan lama dan saya berharap keadaan ini akan reda dan pelabur akan terus membeli ringgit.

“Namun begitu, pergerakan ringgit juga berkait rapat dengan harga minyak yang rendah dengan California kembali kepada sekatan pergerakan. Bagaimanapun, saya rasa harga minyak akan mengenepikannya kerana permintaan minyak di Asia masih lagi tinggi,” kata beliau kepada Bernama.

Innes juga berkata ini mungkin menjadi peluang baik untuk membeli ringgit kerana dolar AS dijangka lemah berikutan ketidakpastian mengenai pakej rangsangan Bank Pusat Eropah dan Brexit di Sidang Kemuncak EU pada 10 Dis ini.

Sementara itu, ringgit diniagakan rendah berbanding mata wang utama yang lain.

Ia merosot berbanding dolar Singapura pada 3.0598/0645 daripada 3.0461/0498 Jumaat lepas, lebih rendah berbanding pound Britain pada 5.4814/4894 daripada 5.4698/4772.

Ringgit jatuh berbanding euro pada 4.9510/9583 daripada 4.9366/9430 dan lega berbanding yen Jepun kepada 3.9222/9274 daripada 3.9023/9080 Jumaat lepas.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )