Ringgit dibuka rendah pada pagi

Ringgit dibuka rendah pada pagi

KUALA LUMPUR,. Ringgit dibuka rendah berbanding dolar US hari ini berikutan kekurangan minat belian disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan semula untuk membendung penularan COVID-19 yang mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pelabur, kata peniaga.

Pada 9 pagi, unit tempatan diniagakan 50 mata lebih rendah kepada 4.0530/0600 daripada dolar US berbanding 4.0480/0530 ketika ditutup semalam.

Ketua Strategis Pasaran Global Axi Stephen Innes berkata ringgit mencatatkan tiga kali ganda negatif dengan harga minyak kekal tentatif.

“Dolar US mengukuh di seluruh papan berikutan peningkatan hasil AS, manakala kerajaan Malaysia mengenakan sekatan PKP dalam satu lagi cabaran bergelut dalam pemulihan ekonomi domestik.

“Kesemua ini meningkatkan sentimen penurunan untuk ringgit,” katanya kepada Bernama.

Semalam Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pelaksanaan PKP di Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan), Melaka, Johor dan Sabah – untuk tempoh 14 hari bermula Rabu (13 Jan) hingga 26 Jan.

Enam lagi negeri – Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan dilaksanakan PKP Bersyarat (PKPB) manakala PKP Pemulihan (PKPP) bagi Perlis serta Sarawak, untuk tempoh sama.

Pada dagangan awal, ringgit diniagakan rendah berbanding mata wang utama lain.

Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0467/0522 daripada 3.0436/0478 pada Isnin dan jatuh berbanding yen kepada 3.8889/8960 daripada 3.8882/8934.

Berbanding pound Britain, mata wang tempatan merosot kepada 5.4801/4903 daripada 5.4616/4687 semasa ditutup semalam dan turun berbanding euro kepada 4.9284/9382 daripada 4.9236/9309.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )