Ringgit dibuka rendah pada pagi

KUALA LUMPUR,. Ringgit susut berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pagi ini, menjelang keputusan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) mengenai Kadar Dasar Semalaman (OPR) hari ini.

Pada 9.05 pagi, mata wang tempatan berada pada 4.1525/1550 berbanding dolar AS daripada 4.1495/1530 semasa ditutup pada Rabu.

Seorang penganalisis berkata, mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari bank pusat pada hari ini akan membuat keputusan mengenai OPR, yang akan memberi petunjuk mengenai situasi ekonomi semasa dan prospek pemulihan Malaysia.

Sebelum ini, OCBC Bank berkata pengurangan prospek pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2021 Malaysia mungkin menjadi permulaan kepada potensi penurunan OPR.

Pada bulan lalu, Gabenor BNM Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus berkata unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi 2021 disemak semula kepada antara tiga dan empat peratus, lebih rendah daripada unjuran awal antara enam dan tujuh peratus.

Beliau berkata, unjuran pertumbuhan yang lebih rendah itu berikutan penguatkuasaan semula langkah-langkah pembendungan COVID-19 di seluruh negara susulan peningkatan kadar jangkitan tempatan.

Sementara itu, kedudukan dolar AS yang selamat membantu mata wang AS itu untuk mengekalkan aliran meningkatnya walaupun terdapat tanda-tanda bahawa pertumbuhan ekonomi AS terjejas oleh peningkatan semula kes koronavirus dan cabaran lain.

Tinjauan terkini Rizab Persekutuan AS mengenai keadaan perniagaan di negara itu menunjukkan aktiviti ekonomi di negara itu merosot’ pada Julai dan Ogos berikutan kebimbangan yang meningkat mengenai kes COVID-19, masalah rantaian bekalan dan kekurangan tenaga kerja.

Dalam negara, ringgit diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Unit tempatan tidak berubah berbanding dolar Singapura kepada 3.0828/0849 daripada 3.0828/0857 pada Rabu manakala merosot berbanding euro kepada 4.9058/9087 daripada 4.9026/9068 sebelum ini.

Ia turut susut berbanding yen Jepun kepada 3.7681/7708 daripada 3.7632/7672 dan merosot berbanding pound kepada 5.7147/7181 daripada 5.7082/7129 semalam.

-BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )