Ringgit dibuka rendah pada pagi

Ringgit dibuka rendah pada pagi

KUALA LUMPUR,. Nilai ringgit terus menyusut berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) ketika dibuka untuk urus niaga pagi ini dengan mata wang AS mengukuh di tengah-tengah ketidakpastian akan impak ancaman varian Omicron yang mendorong kepada penghindaran risiko selain kenyataan berterusan Rizab Persekutuan yang cenderung untuk menaikkan kadar faedah.

Pada 9 pagi, mata wang tempatan susut kepada 4.2340/2370 berbanding dolar AS daripada 4.2315/2345 pada penutupan urus niaga Khamis.

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata ringgit diunjurkan kekal lemah hari ini seperti yang ditunjukkan oleh indeks dolar AS (DXY) yang kembali semula melepasi paras 96 mata.

“Komen daripada beberapa pegawai Persekutuan agak konsisten yang proses pengurangan boleh dipercepatkan terutama ketika ekonomi menunjukkan angka yang lebih baik daripada jangkaan.

“Semua mata akan tertumpu kepada laporan pekerjaan bukan ladang (NFP) yang akan dikeluarkan malam ini dengan anggaran konsensus berjumlah 555,000 berbanding 531,000 sebelumnya.

“Tuntutan pengangguran awal meningkat kepada 222,000 minggu lepas daripada 199,000 pada minggu sebelumnya tetapi lebih baik daripada anggaran konsensus 240,000.

“Ini menandakan pasaran buruh kekal sihat di AS dan oleh itu, ia memberikan justifikasi yang betul untuk menghapuskan akomodasi dasar monetari lebih awal dan ini pasti akan menyokong lagi dolar AS,” katanya kepada Bernama

Peniaga ActivTrades, Dyogenes Rodrigues Diniz, pula berkata dolar AS dijangka meningkat lebih kukuh berbanding ringgit pada Jumaat mengambil petunjuk daripada data pekerjaan AS.

Sementara itu, mata wang tempatan diniagakan kebanyakannya lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama kecuali berbanding yen Jepun.

Ia meningkat berbanding pound Britain kepada 5.6287/6327 daripada 5.6372/6412 pada penutup Khamis dan lebih tinggi berbanding dolar Singapura kepada 3.0907/0932 daripada 3.0961/0988.

Ringgit mengukuh berbanding euro kepada 4.7844/7878 daripada 4.7926/7960 tetapi susut berbanding yen Jepun kepada 3.7423/7449 daripada 3.7397/7427 pada Khamis.

-BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)