Ringgit dibuka rendah sedikit berbanding Dolar AS

KUALA LUMPUR,. Nilai ringgit menyusut berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) ketika dibuka untuk urus niaga pagi Isnin, dijejaskan oleh kegiatan pengambilan untung selepas mempamerkan peningkatan yang stabil dalam dua sesi sebelumnya.

Pada 9 pagi, ringgit turun kepada 4.1460/1500 berbanding dolar AS daripada 4.1390/1415 pada penutupan Jumaat lalu

Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata indikator teknikal turut menandakan bahawa ringgit berada dalam situasi terlebih beli.

Fokus minggu ini ialah kenyataan mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia (BNM) yang akan dikeluarkan pada Rabu.

“Pasaran sudah pastinya mahu melihat penilaian terkini oleh BNM mengenai ekonomi selepas pembentangan Bajet 2022 pada Jumaat.

“Dalam jangka masa sederhana, ringgit nampak positif kerana prospek ekonomi dijangka lebih baik tahun depan selain disokong oleh harga komoditi yang tinggi,” kata Mohd Afzanizam kepada Bernama.

Sementara itu, ringgit diniagakan tinggi berbanding mata wang utama yang lain.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0722/0754 daripada 3.0762/0783 pada penutupan urus niaga Jumaat dan mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.6343/6381 daripada 3.6403/6425.

Nilai ringgit turut tinggi berbanding euro kepada 4.7903/7949 daripada 4.8232/8261 dan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.6684/6739 daripada 5.7089/7124 sebelumnya.

-BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )