Ringgit dibuka tidak berubah

Ringgit dibuka tidak berubah

KUALA LUMPUR: Ringgit mencatat prestasi hampir tidak berubah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada awal dagangan Selasa ketika sentimen bercampur-campur mengenai vaksin COVID-19 serta penyusutan dolar AS terus menjadikan pelabur memilih untuk menunggu pemangkin pasaran yang lebih ketara, kata peniaga.

Pada 9.00 pagi, ringgit berada di paras 4.0400/0430 berbanding dolar AS daripada 4.0400/0450 di akhir dagangan Isnin.

Sementara itu, Ketua Strategis Pasaran Global Axi, Stephen Innes berkata hasil dan prospek global terus meningkat berikutan unjuran yang lebih positif membabitkan vaksin COVID-19.

Menurutnya, perkembangan positif membabitkan Rizab Persekutuan AS serta hasil Perbendaharaan AS yang lebih tinggi itu berkemungkinan akan turut mempengaruhi tindak tanduk bank-bank pusat Asia.

Di peringkat tempatan, beliau percaya ringgit berada pada kedudukan dihimpit antara keperluan mengurangkan perbezaan dengan bon-bon AS serta lonjakan harga minyak.

“Walaupun beberapa kertas Sekuriti Kerajaan Malaysia dilihat sebagai kehilangan tarikan, ringgit sebaliknya berpeluang untuk meraih manfaat daripada pemulihan eksport dan komoditi apabila perniagaan global terus dibuka semula,” katanya kepada Bernama.

Dalam pada itu, ringgit diniagakan lebih rendah berbanding mata wang utama lain.

Ringgit rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.0588/0622 daripada 3.0523/0572 pada Isnin dan susut berbanding yen Jepun kepada 3.8476/8512 daripada 3.8229/8290.

Unit tempatan itu juga susut berbanding euro kepada 4.9151/9203 daripada 4.8912/8981 semalam dan rendah berbanding pound Britain kepada 5.6847/6893 daripada 5.6613/6691 ketika Perdana Menteri Boris Johnson merangka pelan untuk mengakhiri sekatan pergerakan berikutan pelaksanaan program vaksinasi.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)