Ringgit dibuka tinggi berbanding Dolar AS

Ringgit dibuka tinggi berbanding Dolar AS

KUALA LUMPUR,. Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) berikutan sentimen yang lebih baik selepas data pasaran buruh AS menunjukkan pertumbuhan pekerjaan, mengukuhkan jangkaan kepada penurunan kadar faedah tidak lama lagi, kata seorang penganalisis.

Pada 9 pagi, ringgit meningkat kepada 4.7140/7190 berbanding dolar AS daripada 4.7165/7215 semalam.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata pada minggu lalu, tuntutan pengangguran awal AS merosot kepada 187,000 berbanding anggaran konsensus sebanyak 207,000 manakala pada minggu sebelumnya, bacaan adalah pada 203,000.

“Ini bermakna, pasaran buruh AS masih menunjukkan trend yang berdaya tahan walaupun dalam persekitaran kadar faedah yang tinggi.

“Ini mungkin dilihat bertentangan dengan kumpulan penurunan kadar yang menjangka kadar akan diturunkan pada Mac ini,” katanya kepada Bernama.

Indeks Dolar AS (DXY) terus berada melebihi 103 mata berikutan Rizab Persekutuan (Fed) tidak akan menukar haluan dalam masa terdekat, katanya.

Oleh itu, Mohd Afzanizam menjangka ringgit akan kekal rendah hari ini.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama kecuali berbanding pound, apabila susut kepada 5.9910/9974 daripada 5.9782/9845 pada Khamis.

Ia meningkat berbanding euro kepada 5.1288/1343 daripada 5.1339/1394 pada Khamis dan naik berbanding yen Jepun kepada 3.1847/1883 daripada 3.1903/1939 sebelum ini.

Pada masa sama, mata wang tempatan diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN.

Ia naik berbanding peso Filipina kepada 8.44/8.46 daripada 8.45/8.46 semalam dan meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 301.6/302.2 daripada 301.8/302.3 sebelum ini.

Ringgit merosot berbanding baht Thailand kepada 13.2714/2918 daripada 13.2475/2675 pada Khamis dan rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.5101/5140 daripada 3.5098/5141 sebelum ini.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)