Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS dalam dagangan berhati-hati

Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS dalam dagangan berhati-hati

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR,. Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Selasa walaupun dagangan berada dalam keadaan berhati-hati, kata penganalisis.

Pada 9 pagi, mata wang tempatan meningkat kepada 4.0410/0460 berbanding dolar AS daripada 4.0430/0460 ketika ditutup pada Isnin.

Ketua Pakar Strategi Pasaran Global, Axi, Stephen Innes berkata kenaikan harga minyak global mendorong peserta pasaran untuk tidak memasuki pasaran dalam keadaan kerajaan mengingatkan mengenai risiko ekonomi yang semakin meningkat.

Beliau berkata wujud pandangan bercampur-campur memandangkan harga minyak disokong oleh Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya (OPEC+) dengan Iraq dijangka mengurangkan pengeluaran pada Februari dan Mac sebagai langkah mengimbangi berikutan pelanggaran kuotanya tahun lepas.

“Sementara itu, teknologi terus menyokong pembuatan semikonduktor di Malaysia, menambah baik sentimen pasaran di negara ini,” katanya kepada Bernama.

Ketika ini, harga minyak mentah Brent meningkat 0.07 peratus kepada US$55.92 setong.

Ringgit juga diniagakan tinggi berbanding mata wang utama lain.

Unit tempatan tinggi berbanding dolar Singapura kepada 3.0425/0481 daripada 3.0456/0485 pada Isnin dan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.5224/5297 daripada 5.5272/5329.

Ringgit turut naik berbanding yen Jepun kepada 3.8934/8990 daripada 3.8946/8986 dan stabil berbanding euro kepada 4.9033/9110 daripada 4.9106/9159.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)