Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar US selepas pengumuman mengenai PERMAI

KUALA LUMPUR,. Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar US hari ini, didorong oleh pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) bernilai RM15 bilion semalam dan harga minyak mentah yang tinggi.

Pada 9.13 pagi, ringgit meningkat kepada 4.0450/0490 berbanding dolar US daripada 4.0500/0540 semasa ditutup pada Isnin.

Peniaga berkata harga minyak mentah dijangka stabil sejajar dengan kemajuan dalam pelaksanaan vaksin COVID-19.

“Sentimen pelabur akan menjadi positif, dan mata wang tempatan lebih stabil,” katanya.

Perdana Menteri mengumumkan pakej bantuan PERMAI bernilai RM15 bilion pada Isnin, terdiri daripada 22 inisiatif untuk memerangi pandemik COVID-19 dan mengurangkan impaknya kepada rakyat dan ekonomi.

Pakej itu berteraskan kepada tiga matlamat, iaitu, membendung pandemik, memelihara kebajikan rakyat, dan menyokong kesinambungan perniagaan.

Sementara itu, peniaga akan memberi tumpuan kepada mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia selama dua hari yang bermula hari ini.

Penganalisis mengunjurkan bank pusat akan membuat satu lagi pengurangan kadar faedah berikutan impak ekonomi yang berpotensi daripada penguatkuasaan semula Perintah Kawalan Pergerakan dan pengisytiharan darurat di seluruh negara.

Walaupun prestasinya meningkat berbanding dolar US, unit tempatan dibuka kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama kecuali yen, yang naik kepada 3.8984/9027 daripada 3.9010/9056 semasa ditutup semalam.

Ringgit rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.0418/0467 daripada 3.0378/0417 semalam, susut berbanding pound kepada 5.4988/5046 daripada 5.4784/4855 sebelum ini dan merosot berbanding euro kepada 4.8888/8940 daripada 4.8847/8903.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )