Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar

Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar

KUALA LUMPUR,. Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada Rabu walaupun mata wang AS mengukuh, disokong oleh harga minyak mentah yang stabil dan sentimen positif susulan pengesahan penarafan kredit berdaulat Malaysia.

Dolar AS meneruskan kenaikan semula yang dicatatkan pada Selasa selepas mengalami penurunan bersifat pembetulan yang ketara pada Isnin.

Pada 9 pagi, mata wang tempatan meningkat kepada 4.1510/1555 berbanding dolar AS daripada 4.1590/1620 ketika ditutup pada Selasa.

Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata pengesahan S&P Global Ratings (S&P) terhadap penilaian kredit berdaulat Malaysia membuktikan kewangan kerajaan masih dalam keadaan baik dan telah membantu menyokong nilai ringgit.

S&P mengesahkan penilaian penerbit jangka panjang mata wang asing dan mata wang tempatan Malaysia masing-masing pada A- dan A, dengan prospek negatif.

Beliau berkata, harga minyak mentah Brent yang bergerak pada sekitar AS$74 hingga AS$75 setong juga kekal menyokong mata wang tempatan.

Dalam perkembangan lain, kenyataan terkini oleh Pengerusi Rizab Persekutuan AS (Fed), Jerome Powell, telah meyakinkan peserta pasaran bahawa bank pusat AS itu tidak terburu-buru bagi kenaikan kadar faedah.

“Kenyataan itu telah mendorong kenaikan di pasaran ekuiti, khususnya, Nasdaq yang menjadi tumpuan saham teknologi apabila mencatatkan satu lagi paras tertinggi memandangkan pelabur dilihat berada dalam keadaan minat risiko.

“Justeru, mungkin berlaku kesan limpahan kepada pasangan dolar AS berbanding ringgit (USD/MYR) yang lemah semalam dan dijangka mengehadkan tahap penyusutan nilai ringgit berbanding dolar AS pada sekitar RM4.14 hingga RM4.15,” katanya kepada Bernama.

Pada awal dagangan Rabu, ringgit kebanyakannya rendah berbanding kumpulan mata wang utama.

Unit tempatan rendah berbanding dengan dolar Singapura kepada 3.0883/0919 daripada 3.0874/0901 ketika ditutup pada Selasa, dan susut berbanding dengan pound Britain kepada 5.7865/7928 daripada 5.7681/7723.

Ringgit rendah berbanding euro kepada 4.9530/9583 daripada 4.9426/9461 ketika ditutup semalam namun meningkat berbanding dengan yen kepada 3.7484/7528 daripada 3.7658/7689.

-BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)