Ringgit dibuka tinggi pada awal dagangan

KUALA LUMPUR,. Ringgit terus meningkat untuk dibuka kukuh sedikit berbanding dolar AS pagi ini di celah-celah harga minyak mentah yang lebih baik.

Pada pukul 9.01 pagi, mata wang tempatan disebut harga pada 4.0710/0760 berbanding dolar AS daripada 4.0750/0780 ketika ditutup semalam.

Ketika berita ini ditulis, penanda aras minyak mentah Brent diniagakan pada US$48.25 setong, meningkat 1.75 peratus daripada sesi dagangan sebelumnya.

Mengulas mengenai prestasi ringgit, Ketua Strategi Pemasaran Global Axi Stephen Innes berkata terdapat sedikit perubahan dalam urus niaga ringgit sejak mesyuarat Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum serta sekutunya (OPEC+) mengumumkan penangguhan pada Ahad, memandangkan unit tempatan terus terikat dengan pergerakan pasaran minyak sawit mentah.

Pada Selasa, dilaporkan OPEC+, yang merangkumi Rusia dan negara pengeluar minyak lain, telah menangguhkan perbincangan mengenai dasar pengeluaran minyak mentah bagi 2021 ke 3 Dis, kerana peserta utama masih lagi belum bersetuju mengenai jumlah minyak yang perlu dihasilkan di celah-celah permintaan lemah berikutan pandemik COVID-19.

Pada paras pembukaan, ringgit menunjukkan sedikit perubahan berbanding mata wang utama lain.

Mata wang tempatan susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0399/0447 daripada 3.0395/0428 ketika ditutup pada Rabu, rendah sedikit berbanding yen pada 3.8953/9012 daripada 3.8921/8953 sementara berbanding pound, ringgit agak tinggi pada 5.4372/4443 daripada 5.4377/4421 semalam.

Berbanding euro, ringgit lemah kepada 4.9271/9348 daripada 4.9271/9348 ketika ditutup pada Rabu petang.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )