Ringgit dibuka tinggi pada pagi

KUALA LUMPUR,. Urus niaga ringgit melantun pagi ini untuk dibuka tinggi berbanding dolar AS.

Para peniaga berkata dolar AS bertukar menjadi lemah di celah-celah ketidakpastian berhubung pakej rangsangan fiskal COVID-19 negara itu.

Pada pukul 9 pagi, mata wang tempatan disebut harga pada 4.1400/1450 berbanding dolar AS daripada 4.1480/1550 ketika ditutup pada Selasa.

Ketua Strategi Pasaran Global Axi, Stephen Innes berkata dolar diniagakan rendah dengan harapan hasil perundingan rangsangan AS dapat dibuat sebelum berakhirnya minggu ini dengan peniaga tempatan masih lagi berpegang kepada usaha berkenaan.

“Juga, mata wang yuan China terus diniagakan dengan baik, disokong oleh lonjakan penggunaan yang pastinya akan memberi manfaat kepada ekonomi dan mata wang tempatan yang mengeksport ke negara itu seperti ringgit,” kata beliau kepada Bernama.

Sementara itu, Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata keputusan terkini data suku ketiga 2020 China iaitu 4.9 peratus akan memberikan harapan bahawa kemelesetan ekonomi global mungkin tidak begitu teruk.

“Kita juga telah melihat baru-baru ini Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) telah mengurangkan unjuran penguncupan global kepada -4.4 peratus.

“Selain daripada itu, terdapat juga perkembangan mengenai vaksin COVID-19. Oleh itu, ringgit lebih menjurus untuk meningkat sekitar RM4.14 berbanding dolar AS hari ini,” tambah beliau.

Ketika dibuka pagi ini, berbanding mata wang utama lain, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi kecuali euro.

Ia mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0522/0570 daripada 3.0561/0624 ketika ditutup sebelumnya dan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.3654/3727 daripada 5.3754/3861.

Mata wang tempatan lebih tinggi berbanding yen kepada 3.9286/9338 daripada 3.9291/9369 tetapi merosot berbanding euro kepada 4.8989/9052 daripada 4.8963/9062.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )