Ringgit dibuka tinggi pada pagi

KUALA LUMPUR,. Ringgit dibuka tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini, berdasarkan sentimen pelabur yang positif berikutan pembentangan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) semalam.

Pada 9 pagi, ringgit meningkat kepada 4.1800/1855 berbanding dolar AS daripada 4.1865/1885 semasa ditutup semalam.

Peniaga ActivTrades, Dyogenes Rodrigues Diniz, berkata dolar AS bergerak dalam jajaran kecil berbanding ringgit sejak beberapa hari yang lalu, berikutan pendirian Rizab Persekutuan (Fed) AS mengenai kadar faedah AS yang tidak akan dinaikkan dalam jangka masa terdekat.

Minggu lalu, Pengerusi Fed AS, Jerome Powell memberi jaminan kepada pasaran global dengan menyatakan bahawa walaupun proses pengurangan akan bermula pada November, kadar faedah AS tidak akan dinaikkan sehingga 2023.

“Data mengenai keyakinan pengguna dapat memberikan lebih banyak maklumat mengenai keadaan pemulihan ekonomi di AS dan boleh memberikan petunjuk mengenai langkah pengurangan.

“Dari aspek teknikal, ringgit dijangka bergerak dalam jajaran kecil berbanding dolar AS, antara paras 4.1930 dan 4.1770,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata, jika paras itu meningkat melebihi 4.1930, ia boleh naik kepada 4.2370, manakala jika ia merosot di bawah 4.1770, ringgit boleh jatuh kepada 4.1350 dalam masa beberapa hari.

Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membentangkan RMK-12, yang bertujuan untuk meningkatkan semula pertumbuhan ekonomi Malaysia dan mencapai matlamat pembangunan jangka panjang dalam negara menghadapi cabaran daripada pandemik COVID-19.

Pada pembukaan, ringgit diniagakan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Unit tempatan meningkat kepada 3.0851/0896 berbanding dolar Singapura daripada 3.0915/0932 pada Isnin dan naik berbanding euro kepada 4.8860/8924 daripada 4.8965/8989 sebelum ini.

Ia mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.7644/7697 daripada 3.7737/7758 dan meningkat berbanding pound kepada 5.7245/7320 daripada 5.7338/7366 sebelum ini.

-BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )