Ringgit dibuka tinggi pagi ini

Ringgit dibuka tinggi pagi ini

KUALA LUMPUR,. Nilai ringgit dibuka tinggi berbanding dolar AS serta mata wang utama lain pagi ini menjelang keputusan Bank Negara Malaysia (BNM) mengenai kadar dasar semalaman (OPR).

Pada 9 pagi, unit tempatan meningkat kepada 4.6445/6515 berbanding dolar AS daripada 4.6480/6525 pada penutup Selasa.

Menurut seorang penganalisis mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) selama dua hari bermula hari ini dan bank pusat dijangka mengekalkan OPR pada 3.0 peratus.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit dijangka diniagakan dalam julat RM4.64-RM4.65 berbanding dolar AS tatkala peserta pasaran menantikan keputusan OPR oleh BNM.

Pada masa yang sama, beliau berkata perbincangan tentang kemungkinan perubahan dalam pendirian monetari global seharusnya menyediakan momentum pada masa hadapan.

“Setakat ini, Indeks Pengurus Pembelian (PMI) dari pelbagai bidang kuasa menunjukkan trend yang lemah, menandakan perniagaan begitu berjaga-jaga dalam prospek perniagaan mereka,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata PMI pembuatan untuk bulan Jun bagi Australia, Korea Selatan, Jepun dan China masing-masing lebih rendah pada 48.2, 47.8, 49.8 dan 50.5.

Di Malaysia, indeks PMI turun menjadi 47.7 pada Jun berbanding 47.8 pada Mei.

Sementara itu, Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata sentimen ringgit bertambah baik seiring dengan pengukuhan yuan kerana People’s Bank of China (PBoC) telah menetapkan kadar yuan jauh lebih tinggi sejak kebelakangan ini untuk meredakan trend yang semakin lemah.

Sementara itu, ringgit diniagakan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama yang lain, kecuali berbanding pound Britain yang mana unit tempatan lebih rendah kepada 5.9050/9139 daripada 5.9016/9073 sebelumnya.

Mata wang tempatan menambah nilai berbanding euro kepada 5.0560/0636 daripada 5.0654/0703 semalam (Selasa) dan mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.2153/2204 daripada 3.2184/2217.

Ringgit turut diniagakan tinggi berbanding mata wang Asean yang lain.

Unit tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.4419/4476 daripada 3.4458/4494 dan lebih tinggi berbanding baht Thai pada 13.3126/3395 daripada 13.3230/3420 semalam.

Ringgit menambah nilai berbanding peso Filipina kepada 8.40/8.42 daripada 8.41/8.42 dan naik berbanding rupiah Indonesia kepada 309.7/310.3 daripada 309.9/310.4 sebelumnya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )