Ringgit dibuka tinggi pagi ini

Ringgit dibuka tinggi pagi ini

KUALA LUMPUR,. Keyakinan berterusan mengenai data inflasi Amerika Syarikat (AS) yang positif meningkatkan sentimen, membolehkan ringgit dibuka tinggi pada Khamis.

Pada 9.01 pagi, ringgit naik kepada 4.6360/6410 berbanding dolar AS daripada 4.6400/6440 pada Rabu.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata purata harga petrol AS berada pada US$3.69 segelen pada Disember 2023.

“Berbanding dengan purata pada Disember 2022, iaitu US$3.92 segelen, ini akan memberi kita penurunan enam peratus tahun ke tahun.

“Oleh itu, terdapat kemungkinan Indeks Harga Pengguna (IHP) keseluruhan lebih rendah daripada jangkaan,” katanya.

Beliau berkata kenyataan terkini daripada Presiden Federal Reserve Bank of New York John Williams mengenai AS dijangka dapat menurunkan inflasi turut membantu sentimen di seluruh dunia.

Sehubungan itu, Indeks Dolar AS (DXY) merosot kepada 102.362 mata daripada 102.57 mata sebelum ini.

“Bagaimanapun, beliau menyatakan lebih banyak bukti diperlukan sebelum bank pusat AS dapat menurunkan Kadar Dana Fed.

“Oleh itu, ringgit dijangka mengekalkan dagangan dalam jajaran kecil antara RM4.63 dan RM4.65 hari ini.

“Dari aspek teknikal, pasangan mata wang dolar AS dan ringgit kini berada dalam zon neutral, menunjukkan mata wang tempatan akan diniagakan mendatar dalam tempoh terdekat,” katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.2018/2047 daripada 3.1869/1906 sebelum ini.

Bagaimanapun, mata wang tempatan rendah berbanding euro kepada 5.0894/0949 daripada 5.0789/0833 semalam dan merosot berbanding pound kepada 5.9123/9187 daripada 5.9044/9095 sebelum ini.

Ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding mata wang ASEAN.

Ia naik berbanding dolar Singapura kepada 3.4836/4876 daripada 3.4851/4883 pada Rabu, meningkat berbanding baht Thailand kepada 13.2272/2483 daripada 13.2598/2777 dan tinggi berbanding rupiah Indonesia kepada 297.7/298.2 daripada 297.9/298.4 sebelum ini.

Mata wang tempatan tidak berubah berbanding peso Filipina kepada 8.24/8.27 daripada 8.24/8.25 semalam.

–[Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)