Ringgit dijangka diniagakan dalam jajaran ketat minggu depan

Ringgit dijangka diniagakan dalam jajaran ketat minggu depan

Oleh Siti Noor Afera Abu

KUALA LUMPUR, 3 Okt — Ringgit dijangka diniagakan dalam jajaran ketat minggu depan dengan tumpuan terarah kepada harga minyak mentah, kata Ketua Pakar Strategi Pasaran Global AxiCorp Stephen Innes.

Beliau berkata harga minyak mentah adalah perkara yang tidak dapat dijangka ketika ini dengan harga minyak mentah penanda aras Brent diniagakan di bawah US$39 setong pada Jumaat.

“Saya menjangkakan sentimen risiko akan mereda, tetapi sudah tentunya, pasaran minyak mencatatkan prestasi sangat rendah pada minggu ini; yang bakal menjadi satu kebimbangan besar bagi minggu hadapan.

“Bagaimanapun, saya fikir tanpa mengambil kira harga minyak, mata wang Asia seperti ringgit yang mempunyai kolerasi kukuh dengan Yuan akan mampu bertahan kerana saya tidak merasakan dolar AS akan menjadi pertaruhan yang baik dalam keadaan ini,” katanya kepada Bernama, sambil menjangkakan ringgit diniagakan antara paras 4.15 and 4.17 minggu depan.

Mengenai prestasi ringgit bagi minggu yang baru berakhir ini, Innes berkata unit tempatan diniagakan rendah pada Jumaat selepas tiga hari berturut-turut mencatatkan kenaikan meskipun aktiviti pengambilan untung.

Beliau berkata kekurangan rang undang-undang pakej rangsangan Amerika Syarikat (AS) akan menjadi pencetus pengelak risiko utama bagi mata wang Asia tetapi faktor pengaruh paling utama bagi ringgit adalah larangan import minyak sawit daripada FGV Holdings Bhd oleh AS berikutan dakwaan isu buruh paksa.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, ringgit meningkat sedikit berbanding dolar AS kepada 4.1620/1660 daripada 4.1650/1700 pada minggu sebelumnya.

Bagaimanapun, unit tempatan susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0502/0543 daripada 3.0264/0307 pada Jumaat minggu sebelumnya dan turun berbanding yen kepada 3.9582/9631 daripada 3.9490/9549.

Ringgit susut berbanding pound Britain kepada 5.3748/3821 daripada 5.3008/3088 dan rendah berbanding euro kepada 4.8766/8830 daripada 4.8489/8564 sebelumnya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)