Ringgit diniagakan rendah pada pagi

Ringgit diniagakan rendah pada pagi

KUALA LUMPUR,. Ringgit meneruskan penurunannya berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada sesi awal Isnin selepas minat risiko dalam pasaran tempatan dijejaskan oleh pengukuhan ketara unit negara maju itu menjelang Mesyuarat Jawatankuasa Terbuka Persekutuan AS (FOMC).

Pada 9 pagi ini, nilai ringgit turun ke paras 4.5670/5710 berbanding dolar AS daripada 4.5600/5655 pada akhir urus niaga Jumaat lepas.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit dijangka diniagakan dalam sentimen berhati-hati minggu ini dengan tumpuan utama kepada beberapa siri mesyuarat bank-bank pusat utama yang dimulakan dengan mesyuarat dua hari FOMC pada 25-26 Julai ini.

“Kebanyakan negara menjangkakan kenaikan sebanyak 25 mata asas. Langkah sama juga dijangka dilaksanakan oleh Bank Pusat Eropah (ECB) yang menaikkan 25 mata asas lagi dalam kadar dasarnya.

“Bagaimanapun, mesyuarat dasar Bank of Japan pada 28-29 Julai ini akan menyaksikan sebaliknya kerana berkemungkinan mahu mengekalkan dasar monetari lebih akomodasi seiring dengan Kawalan Lekuk Hasil (YCC),” katanya.

YCC merujuk kepada strategi dasar bank pusat untuk menyasarkan dan menguruskan hasil dan kadar tertentu membabitkan bon-bon kerajaan.

Beliau berkata pasaran juga telah memberi reaksi terhadap mesyuarat FOMC dan berikutan itu impak ke atas ringgit dijangka tidak sebegitu ketara

“Sehubungan itu, kita akan menyaksikan permintaan terhadap dolar AS terus mengukuh dan menyebabkan gandingan dolar AS-ringgit dalam julat RM4.56 hingga RM4.57 hari ini,” katanya kepada Bernama.

Dalam pada itu, ringgit mencatat prestasi kurang memberangsangkan berbanding kelompok mata wang utama.

Unit tempatan itu rendah berbanding euro kepada 5.0826/0871 daripada 5.0735/0796; susut berbanding yen Jepun kepada 3.2235/2267 daripada 3.2185/2229 dan turun berbanding pound Britain kepada 5.8745/8797 daripada 5.8669/8740 sebelumnya.

Ringgit turut mencatat prestasi sama berbanding mata wang Asean.

Ia rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.4328/4363 daripada 3.4304/4350 pada Jumaat, turun berbanding dolar Filipina kepada 8.34/8.36 daripada 8.33/8.34; susut berbanding rupiah Indonesia kepada 303.8/304.3 daripada 303.4/303.9 dan merosot berbanding baht Thailand kepada 13.2434/2608 daripada 13.2327/2541 sebelum ini.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )