Ringgit renda berbanding Dolar AS

Ringgit renda berbanding Dolar AS

KUALA LUMPUR,. Ringgit memulakan urus niaga pagi ini lebih rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dengan sentimen negatif terus menyelubungi permintaan terhadap mata wang tempatan, kata seorang penganalisis.

Pada jam 9 pagi, nilai mata wang tempatan disebut harga pada 4.1870/1900 berbanding dolar AS daripada penutup Khamis pada 4.1825/1840.

Ketua ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata ringgit diniagakan lebih rendah pada sesi awal berikutan pengukuhan Indeks dolar AS (DXY) yang menokok 0.19 peratus kepada 95.673.

“Indeks Harga Pengguna AS untuk Januari pula meningkat kepada 7.5 peratus tahun ke tahun, tertinggi dalam hampir empat dekad.

“Berikutan ini, pelabur berpendapat Rizab Persekutuan AS (Fed) akan menaikkan Kadar Dana Persekutuan sebanyak setengah mata peratusan pada bulan Mac,” katanya kepada Bernama.

Pada masa yang sama, hasil Perbendaharaan AS dua tahun melonjak 22 mata asas kepada 1.58 peratus kerana sekuriti dengan tempoh matang yang pendek lazimnya sensitif kepada perubahan dalam dasar monetari, katanya.

Bagaimanapun, Mohd Afzanizam berkata pasaran mata wang sudah pun mengambil kira pendirian Persekutuan AS yang cenderung untuk menaikkan kadar faedah.

“Justeru, situasi tidak menentu adalah sesuatu yang tidak boleh diabaikan dalam pasaran mata wang. Oleh itu, pergerakan ringgit dijangka berada dalam julat antara RM4.18 dan RM4.19 berbanding dolar AS hari ini,” katanya.

Sementara itu, ringgit didagangkan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama lain.

Ringgit mengukuh berbanding yen Jepun kepada 3.6070/6099 daripada penutupan Khamis 3.6118/6134 dan lebih tinggi berbanding pound Britain kepada 5.6696/6737 daripada 5.6761/6781.

Mata wang tempatan turut meningkat berbanding euro kepada 4.7728/7762 daripada 4.7865/7882 dan lebih baik berbanding dolar Singapura kepada 3.1107/1134 daripada 3.1173/1187.

-BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)