Ringgit rendah berbanding dolar AS

Ringgit rendah berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR,. Nilai ringgit menyusut berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) ketika dibuka untuk urus niaga pagi ini dengan aset selamat terus mendapat perhatian dalam situasi kebimbangan terhadap peningkatan penularan COVID-19 di Eropah.

Pada 9 pagi, mata wang tempatan turun kepada 4.1460/1510 berbanding dolar AS daripada 4.1440/1490 semasa ditutup pada urus niaga Khamis.

Sementara itu, seorang peniaga berkata kebimbangan terhadap ketegangan perdagangan baharu antara AS dan China turut menyumbang kepada peningkatan dolar AS.

Pada Khamis, Presiden AS, Joe Biden dilaporkan sebagai berkata negara itu akan menggalas kedudukan sebagai ekonomi paling berkuasa dunia, dan menghalang China daripada mendahuluinya.

“Menurut laporan itu, presiden itu turut berjanji akan membuat pelaburan besar bagi memastikan AS menang dalam persaingan membabitkan dua gergasi ekonomi dunia itu,” katanya kepada Bernama.

Dalam pada itu, Ketua Strategi Pasaran Global Axi, Stephen Innes berkata tatkala pemulihan harga minyak mentah akan memberi sokongan kepada ringgit, permintaan untuk dolar telah menghakis sebarang harapan jangka terdekat ke atas unit tempatan.

Ketika ini, harga minyak mentah Brent ialah pada AS$62.51 setong, meningkat 0.90 peratus daripada sesi sebelumnya.

Berbanding mata wang utama yang lain, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi kecuali berbanding pound Britain yang menyaksikan ia menyusut kepada 5.6999/7085 daripada 5.6777/6854 semalam.

Ringgit lebih tinggi berbanding yen kepada 3.7939/7992 daripada 3.7994/8050, mengukuh berbanding euro kepada 4.8844/8907 daripada 4.8936/9012 dan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.0745/0794 daripada 3.0769/0813.

-BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )