Ringgit rendah berbanding Dolar AS

Ringgit rendah berbanding Dolar AS

KUALA LUMPUR,. Ringgit dibuka rendah berbanding dolar Ameria Syarikat (AS) pada Isnin memandangkan data pekerjaan AS yang kukuh meredakan kebimbangan terhadap kemelesetan di sana dan mendorong permintaan ke atas dolar.
Pada 9 pagi, mata wang tempatan susut kepada 4.4370/4450 berbanding dolar AS daripada 4.4350/4400 ketika ditutup pada Jumaat lepas.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial, Bank Muamalat Malaysia Bhd Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata walau bagaimanapun, memandangkan ringgit masih terlebih jual dari sudut pandang teknikal, peningkatan ringgit berbanding dolar AS seterusnya boleh dijangkakan.

“Paras sokongan semasa adalah pada RM4.4254 dan ringgit mungkin cenderung kepada paras itu berbanding dolar AS,” katanya.

Pengumuman mengenai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku pertama 2023 Malaysia pada Jumaat akan dipantau dengan teliti, katanya.

“Kami mengunjurkan pertumbuhan KDNK mungkin mencapai 5.5 peratus. Unjuran sedemikian adalah berdasarkan penggunaan swasta yang lebih kukuh memandangkan pasaran buruh terus pulih,” katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan rendah kebanyakannya berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia rendah berbanding pound British kepada 5.6044/6145 berbanding 5.5908/5971 pada Jumaat lalu dan susut berbanding euro kepada 4.8909/8997 daripada 4.8900/8955.

Walau bagaimanapun, unit domestik meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.2884/2945 daripada 3.3050/3090 semasa ditutup pada Jumaat lepas.

Ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang Asean.

Mata wang tempatan rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.3467/3532 daripada 3.3464/3507 pada Jumaat lepas dan turun berbanding rupiah Indonesia kepada 302.2/302.9 daripada 302.1/302.6.

Ringgit naik berbanding baht Thai kepada 13.0924/1229 daripada 13.1446/1661 serta meningkat peso Filipina kepada 8.01/8.03 daripada 8.02/8.03.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )