Ringgit teruskan kenaikan bagi sesi keenam berturut-turut pada awal dagangan

Ringgit teruskan kenaikan bagi sesi keenam berturut-turut pada awal dagangan

KUALA LUMPUR,. Ringgit meneruskan kenaikan bagi hari keenam berturut-turut berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada awal dagangan Selasa, disokong oleh peningkatan harga minyak mentah dan kemajuan terkini dalam perkembangan program vaksin COVID-19 yang telah menambah keyakinan terhadap prospek mata wang tempatan.

Pada 9.05 pagi, unit tempatan meningkat kepada 4.0300/0340 berbanding dolar AS daripada 4.0320/0370 semasa ditutup pada Isnin.

Ketua Pakar Strategi Pasaran Global, Axi, Stephen Innes berkata ringgit terus mendapat dorongan daripada harga minyak mentah yang stabil dan keyakinan terhadap program vaksin serta Perintah Kawalan Pergerakan yang dilonggarkan secara beransur-ansur, yang dijangka dilaksanakan lebih cepat.

Beliau berkata ini merupakan dorongan kukuh bagi ringgit dan dijangka kembali mengalami sentimen lebih baik dalam melangkah kepada suku kedua.

“Unit tempatan akan menghadapi ujian daripada pelabur asing memandangkan kerajaan akan melelong Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) bernilai RM2 bilion 2040 untuk diselesaikan pada 18 Feb, 2021, seterusnya akan menjadi pengukur yang baik terhadap pembelian pelabur asing ke atas hutang tempatan dalam keadaan cabaran ekonomi semasa.

“Saya menjangka ia berjalan dengan baik memandangkan para pelabur tidak pernah berhenti daripada usaha untuk meraih keuntungan,” katanya kepada Bernama.

Innes berkata secara keseluruhannya, beliau yakin ringgit akan kembali kepada paras 4.0 tidak lama lagi.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia pada Isnin telah meluluskan vaksin AstraZeneca dan Oxford University bagi penggunaan kecemasan justeru, membenarkan vaksin-vaksin itu diagihkan ke seluruh dunia menerusi COVAX.

Sementara itu, mata wang tempatan diniagakan tinggi kebanyakannya berbanding mata wang utama pada Selasa.

Unit tempatan naik berbanding dolar Singapura kepada 3.0470/0512 daripada 3.0481/0523 ketika ditutup pada Isnin dan meningkat berbanding euro kepada 4.8904/8969 daripada 4.8920/8979.

Ringgit juga kukuh berbanding yen kepada 3.8203/8248 daripada 3.8258/8313 namun lemah berbanding pound Britain kepada 5.6106/6165 daripada 5.6033/6144.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)