Ringgit tidak banyak berubah berbanding dolar AS pagi ini

KUALA LUMPUR,. Urus niaga ringgit pagi ini dibuka tanpa banyak perbezaan berbanding dolar AS.

Pada pukul 9.05 pagi, mata wang tempatan disebut harga pada 4.0380/0430 berbanding dolar AS daripada 4.040/0440 ketika ditutup petang Khamis.

Ketua Strategi Pasaran Global Axi, Stephen Innes berkata ringgit diniagakan lemah selepas mengambil petunjuk daripada pergerakan mata wang yuan dan mata wang Asia yang lain.

“Selain itu, harga minyak mungkin terus merosot berikutan corak cuaca di Texas yang semakin baik di celah-celah persiapan awal untuk mesyuarat OPEC pada Mac depan,” kata beliau kepada Bernama.

Sementara itu, dilaporkan China sedang meninjau had eksport bagi mineral nadir bumi, satu langkah yang boleh menjejaskan eksport ke AS dan industri pembuatan senjata.

“Ini bukan pertama kalinya China mempertimbangkan menggunakan dominasi dalam mineral nadir bumi sebagai tindakan balas atau taktik perundingan dalam perselisihan dua hala,” tambahnya.

Mata wang tempatan diniagakan rendah berbanding mata wang utama yang lain pada Jumaat.

Ia susut berbanding dolar Singapura kepada 3.0434/0490 daripada 3.0433/0472 semalam dan lebih rendah berbanding euro kepada 4.8840/8904 daripada 4.8771/8783.

Ringgit jatuh berbanding pound Britain kepada 5.6419/6501 daripada 5.6249/6321 tetapi meningkat berbanding yen kepada 3.8199/8253 daripada 3.8218/8263 sebelumnya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )