Ringgit tidak berubah berbanding dolar AS

Ringgit tidak berubah berbanding dolar AS

KUALA LUMPUR,. Ringgit tidak berubah pada pembukaan berbanding dolar US hari ini meskipun wujud keyakinan terhadap rundingan perdagangan US-China, kerana pelabur bimbang terhadap aliran keluar dana asing yang berterusan di Bursa Malaysia.

Pada 9 pagi, ringgit disebut harga pada 4.1770/1820 berbanding dolar US pada 4.1770/1800 pada Isnin.

MIDF Amanah Investment Bank Bhd Research berkata pelabur asing melupuskan ekuiti tempatan bersih sebanyak RM187.2 juta minggu lepas berbanding RM408.5 juta yang dijual pada minggu sebelumnya.

Jualan asing itu menjadikan aliran keluar dana asing sepanjang tahun ini hingga Jumaat lepas sebanyak RM9.17 bilion, menjadikan 78.4 peratus daripada aliran keluar asing tahun lepas sebanyak RM11.69 bilion, kata firma penyelidikan itu dalam nota penyelidikannya.

Mengulas kedudukan itu, Ketua Strategi Pasaran Asia AxiTrader Stephen Innes berkata kekurangan pasaran hadapan tanpa serahan yang berdaya maju mencabar pelabur asing untuk melindung nilai pendedahan mata wang akhir tahun, dan mereka mungkin merasa lebih selesa untuk membeli aset serantau lain dengan risiko mata wang akhir tahun lebih mudah diurus.

“Selain kedudukan ringgit yang tidak menarik, pelabur tempatan juga kecewa kerana penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) tidak dapat kembali melepasi paras 1,600, walaupun risikonya dilihat sangat baik untuk memulakan minggu ini,” katanya dalam notanya hari ini.

Pada pembukaan, FBM KLCI susut 1.71 mata pada 1,589.64 berbanding 1,591.35 pada Isnin.

Menyentuh isu politik, Innes berkata peralihan kuasa antara Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal sebagai antara isu yang paling penting dan menyebabkan memilih jalan yang lebih selamat.

“Ketidaktentuan politik menjelang akhir tahun, mencemaskan pelabur dan pada masa yang sama melabur dalam ekuiti serantau yang kurang berisiko,” katanya.

Pada pembukaan, ringgit didagangkan kebanyakannya lebih tinggi berbanding mata wang utama lain, kecuali pound.

Ringgit tinggi berbanding dolar Singapura kepada 3.0592/0640 daripada 3.0603/0629 pada Isnin, kukuh berbanding yen Jepun kepada 3.8304/8353 daripada 3.8367/8405 semalam dan tinggi berbanding euro kepada 4.5985/6044 daripada 4.5993/6043 semalam.

Nota tempatan bagaimanapun rendah berbanding pound kepada 5.3871/3939 daripada 5.3804/3847 pada Isnin.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)