RIUH EK! bersama Unifi riuhkan Ayer Hitam, perkasa usahawan kreatif dan seniman tempatan
BATU PAHAT: Ayer Hitam, Johor menjadi lokasi pertama jelajah Program RIUH EK! Keluarga Malaysia pada tahun 2022. Program yang diadakan selama tiga hari sehingga Sabtu itu bertujuan memperkasa dan mendukung usahawan kreatif serta pengamal seni tempatan.
Program anjuran Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) itu turut komited menggiatkan semula landskap industri kreatif tempatan yang terjejas berikutan pandemik COVID-19.
Ketua Riuh, Marissa Wambeck berkata, program yang diadakan itu diharapkan dapat meningkatkan daya tarikan terhadap industri kreatif tempatan.
“RIUH EK! bersama Unifi merupakan acara RIUH yang pertama buat tahun 2022 dan hasrat RIUH EK! ini untuk mempromosikan industri kreatif negara. “Kita tahu industri kreatif amat terjejas akibat COVID-19, oleh itu kita nak usahakan dan mengangkat balik industri kreatif negara.
“Dengan mengumpulkan elemen industri kreatif diharapkan dapat menarik lebih ramai pengunjung dan peminat utk bersama menikmati apa industri kreatif boleh tawarkan,” katanya ketika ditemui pada program RIUH EK! bersama Unifi di Ayer Hitam, di sini pada Khamis.
Katanya lagi, program itu turut memberi peluang kepada pengunjung untuk menikmati karya seni tanah air, di samping dapat menimba pengalaman menghasilkan arca seni sendiri secara langung menerusi bengkel kreatif yang disediakan pada program berkenaan.
Marissa menambah program RIUH EK! Keluarga Malaysia itu dijangka akan diteruskan lagi melibatkan 14 siri jelajah diseluruh negara. Sementara itu, usahawan yang membuka gerai di tapak RIUH EK!, John Tang berkata, program tersebut mampu meningkatkan peluang penjualan perniagaan mereka disamping dapat memperluas rangkaian sosial yang terhasil daripada program itu.
“Saya rasa ini merupakan satu program yang bagus kerana banyak orang boleh kenal perniagaan kami, selain boleh jumpa banyak kawan. “Saya juga dapat memperkenalkan perniagaan seni arca ini untuk pengunjung yang berminat terhadap seni arca ini,” ujarnya.
Selain itu, orang ramai juga boleh mengunjungi pelbagai gerai yang menjual kraftangan dan makanan tempatan, serta pameran seni serta persembahan daripada artis popular tanah air.
Program turut menghimpunkan usahawan kreatif tempatan dan pengamal seni daripada 12 sektor industri kreatif yang merangkumi muzik, filem, fotografi, animasi, seni persembahan, sastera, ciptaan, kraf dan seni tradisional, seni kulinari, seni visual, fesyen dan pendidikan kreatif.
Sesi pada Khamis (3 Mac) berlangsung dari pukul 2 petang hingga 10 malam, manakala acara pada Jumaat dan Sabtu akan berlangsung dari pukul 11 pagi hingga 9 malam. Ia akan dirasmikan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa pada Jumaat malam (esok)
-Aiman Hakeem Awazmin /awani