Rizab pertukaran asing BNM dijangka berkurangan susulan COVID-19 – Public Investment Bank

Rizab pertukaran asing BNM dijangka berkurangan susulan COVID-19 – Public Investment Bank

KUALA LUMPUR, 28 April — Rizab pertukaran asing (FX) Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka berkurangan dalam tempoh terdekat ini berikutan peningkatan dalam premium risiko yang disebabkan oleh pandemik COVID-19, kata Public Investment Bank Bhd (PIB).

PIB berkata senario ini bukan hanya berlaku di Malaysia sahaja tetapi di seluruh ekonomi pasaran sedang pesat membangun (EME) tetapi lantunan semula dijangkakan sebaik sahaja ekonomi kembali beroperasi.

“Walaupun pengurangan rizab FX telah dijangkakan, penurunannya tidak dijangka mendadak.

“Kerajaan tidak dijangka menggunakan rizab FX untuk membiayai langkah rangsangan fiskal kerana lebih murah untuk meminjam memandangkan persekitaran kadar faedah rendah sekarang,” kata bank pelaburan itu dalam satu nota penyelidikan hari ini.

Rizab FX turun sebanyak US$1.7 bilion (US$1=RM4.35) kepada US$101.7 bilion pada Mac, penurunan berturut-turut dari Februari manakala dalam terma ringgit ia meningkat sebanyak RM16.8 bilion kepada RM440.1 bilion, yang terbaiknya sejak Disember 2013.

PIB berkata kedudukan rizab FX Malaysia adalah kukuh kerana ia berada di atas daripada standard kecukupan antarabangsa dengan paras kukuh untuk menyokong negara berdepan faktor-faktor luaran dan mengekalkan kestabilan makroekonomi dan sistem kewangan.

Menurut bank tersebut, penurunan rizab FX Malaysia bagi Mac itu selari dengan aliran serantau, antaranya Indonesia (-US$9.4 bilion), Singapura (-US$3.8 bilion) dan Thailand (-US$2.9 bilion).

Manakala kenaikan denominasi ringgit dalam rizab FX Mac disokong oleh lebihan perdagangan yang menggalakkan yang kekal kukuh setakat ini.

“Ini, bagaimanapun diimbangi oleh peningkatan jualan asing dalam pasaran ekuiti apabila sentimen menjadi lemah disebabkan kebimbangan terhadap COVID-19,” kata bank pelaburan itu.

PIB berkata ringgit diniagakan pada purata RM4.3212 berbanding dolar AS pada Mac, penurunan 2.5 peratus bagi asas bulan ke bulan.

Prestasi ini selari dengan trend serantau yang menyaksikan penurunan mendadak bagi rupiah Indonesia (-13.9 peratus), baht Thailand (-3.8 peratus) dan dolar Singapura (-2.21 peratus) manakala peso Filipina mencatatkan sedikit peningkatan pada bulan itu (+0.56 peratus).

— BERNAMA

 

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )