RM200 Juta disalurkan untuk bantu usahawan mikro – MEDAC

RM200 Juta disalurkan untuk bantu usahawan mikro – MEDAC

KUALA LUMPUR, 9 April — Sebanyak RM200 juta akan disalurkan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Tambahan (Rakyat Prihatin PKS) bagi membantu golongan usahawan mikro yang terjejas perniagaan akibat penularan COVID-19, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional telah mewujudkan Skim Pembiayaan Pemulihan Perniagaan Sektor Mikro (CBRM) bagi menyalurkan peruntukan tersebut di mana seramai 33 ribu usahawan mikro disasarkan mendapat manfaat daripada skim CBRM, dengan nilai maksimum pembiayaan sehingga RM10 ribu.

“CBRM ini merupakan pembiayaan suntikan modal pusingan kepada usahawan mikro untuk memulih dan memulakan semula perniagaan sedia ada yang terjejas. Usahawan juga tidak dikenakan sebarang caj,

“Skim ini terbuka kepada semua sektor perniagaan dengan tempoh bayaran balik maksima sehingga 3 tahun dan usahawan juga akan diberi penangguhan bayaran balik selama 6 bulan. Usahawan yang disenarai hitam juga boleh dipertimbangkan permohonan (tertaluk mengikut kes)”, katanya.

Beliau berharap Skim CBRM ini dapat membantu meringankan beban usahawan mikro dan seterusnya merancakkan kegiatan ekonomi Malaysia. Usahawan boleh membuat permohonan dengan mengisi google form di https://tinyurl.com/PermohonanCBRM, dan untuk maklumat lanjut layari www.tekun.gov.my

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )