
RM36 Juta Diperuntuk Baiki Cerun Kritikal, KKR Perkenal Pelan Induk Baharu
PUTRAJAYA, 8 Mei 2025 – Kerajaan menerusi Kementerian Kerja Raya (KKR) telah mengenal pasti sebanyak 20 cerun berisiko sangat tinggi di seluruh negara yang memerlukan intervensi segera bagi mengelakkan kejadian tanah runtuh dan ancaman terhadap keselamatan awam.
Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kerja pembaikan dijangka menelan belanja sekitar RM36 juta, dan majoriti cerun yang terlibat berada di kawasan Lebuhraya Timur-Barat serta beberapa lokasi lain yang turut dipantau secara aktif.
“Langkah awal ini adalah untuk memastikan keselamatan pengguna jalan raya serta melindungi infrastruktur negara,” katanya selepas merasmikan Simposium Cerun Negara 2025.
Beliau turut melancarkan Pelan Induk Cerun Negara (PICN): Pelan Tindakan 2025-2030, yang dibangunkan untuk meningkatkan ketahanan negara terhadap risiko bencana, selari dengan aspirasi Dasar Pengurangan Risiko Bencana 2030 oleh NADMA.