RM8.5 juta untuk belanja hangus TMM2024

RM8.5 juta untuk belanja hangus TMM2024

MELAKA,. Kerajaan Negeri Melaka memperuntukkan sebanyak RM8.5 juta untuk belanja hangus bagi penganjuran Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024), kata Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman.

Abdul Razak berkata belanja hangus itu akan digunakan bagi tujuan antaranya membiayai penganjuran 76 acara bersempena dengan TMM2024.

“Sebanyak RM6.6 juta pula adalah untuk pelaburan kekal yang merangkumi beberapa projek pembangunan berkaitan pelancongan di negeri ini.

“Antaranya termasuklah membangunkan produk pelancongan baharu seperti river cruise di Sungai Linggi dan pembinaan restoran terapung juga di kawasan sama,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Seri Negeri di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan dikemukakan Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem (BN-Duyong) mengenai belanja hangus dan pelaburan kekal untuk TMM2024.

Mengulas lanjut, Abdul Razak berkata Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sebelum ini menyalurkan RM10.1 juta, manakala kerajaan negeri pula menyediakan peruntukan sebanyak RM5 juta untuk bahan-bahan promosi dan kempen promosi serta publisiti di dalam dan luar negara.

Beliau berkata kerajaan negeri sebelum ini menerima peruntukan khas RM25 juta bagi pemuliharaan dan pemeliharaan Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan (Unesco) yang secara tidak langsung dimanfaatkan untuk menyokong penganjuran TMM2024.

“Daripada jumlah itu, sebanyak RM12.8 juta digunakan bagi projek pembangunan, penyelenggaraan, pemeliharaan dan pemuliharaan tapak warisan, penerbitan (RM6.6 juta) dan program warisan (RM5.6 juta),” katanya
Abdul Razak berkata kerajaan negeri yakin sebanyak 15 hingga 18 juta pelancong domestik dan antarabangsa akan berkunjung ke Melaka tahun depan bersempena dengan TMM2024 itu.

Beliau berkata ia akan memberi pulangan sebanyak RM29.9 bilion kepada kerajaan negeri dengan sektor perkhidmatan menyumbang 48 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)