RMK12: Tingkatkan kecemerlangan antara tiga strategi utama bagi bidang sukan

KUALA LUMPUR,. Meningkatkan kecemerlangan sukan pada peringkat antarabangsa merupakan antara tiga strategi utama dirangka, bagi memanfaatkan sukan sebagai medium untuk membina masyarakat yang aktif.

Menurut dokumen Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) dikeluarkan Unit Perancang Ekonomi hari ini, dua lagi strategi adalah menggalakkan sukan untuk kehidupan aktif dan sihat, serta membangunkan industri sukan bagi melonjakkan sumbangan industri itu kepada ekonomi.

Dokumen itu menyatakan bahawa beberapa inisiatif seperti memperkukuhkan tadbir urus sukan berprestasi tinggi (SPT), mempertingkat prestasi atlet, menambah baik perkhidmatan sokongan untuk sukan dan mempertingkatkan kesejahteraan atlet, akan dilaksana untuk memastikan kecemerlangan atlet negara.

“Profesionalisme Persatuan Sukan Kebangsaan (NSA) akan ditingkatkan melalui program pembangunan keupayaan. NSA juga digalakkan untuk menggaji bekas atlet kebangsaan bagi memanfaatkan pengalaman dan kemahiran mereka.

“Sokongan untuk atlet SPT, penyertaan mereka dalam program latihan khusus dan kejohanan kompetitif di peringkat antarabangsa dan tempatan akan dipertingkat. Kerjasama dengan NSA akan diperkukuh untuk menganjurkan lebih banyak kejohanan bertaraf antarabangsa bagi memberi pendedahan kepada atlet,” menurut dokumen itu.

Kerajaan juga merancang untuk membina lebih banyak kemudahan latihan yang dikhususkan untuk SPT bagi meningkatkan kebolehcapaian dan ketersediaan tempat latihan untuk atlet, selain program khusus di sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT) serta memperkasa Majlis Sukan Negeri bagi mengenal pasti dan melatih bakat baharu.

Dalam meningkatkan kesejahteraan atlet, kajian bakal dijalankan untuk memperkenalkan perlindungan sosial seperti termasuk selepas persaraan, selain memberi lebih perhatian menyediakan peluang pekerjaan, pembangunan kerjaya serta program pembangunan keupayaan, bagi membolehkan mereka terlibat dalam perniagaan berkaitan sukan dan menceburi profesion seperti jurulatih, pelatih peribadi dan pegawai teknikal.

Sementara itu, Visi Sukan Negara (VSN) 2030, kesinambungan daripada Dasar Sukan Negara 2009, akan diperkenalkan bagi menetapkan hala tuju baharu menjadikan Malaysia negara bersukan menjelang 2030.

Dalam mencapai strategi itu, usaha bersepadu bakal dilaksanakan untuk mempromosikan budaya sukan, antaranya dengan mempertingkatkan kebolehcapaian kepada kemudahan sukan, memperkukuh badan sukan berasaskan komuniti dan menggalakkan penyertaan yang inklusif dalam sukan.

“Libat urus berterusan dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan pemimpin komuniti akan dilaksana untuk memastikan pembangunan kemudahan sukan dan kawasan rekreasi baharu berdasarkan keperluan komuniti setempat.

“Kemudahan sedia ada akan dinaik taraf dan diselenggara, manakala sektor swasta dan badan sukan akan digalakkan bagi menyediakan lebih banyak kemudahan untuk kegunaan awam. Kemudahan khusus untuk memenuhi keperluan kumpulan sasar seperti orang kurang upaya, warga emas dan wanita juga dititikberatkan,” menurut dokumen itu.

Dalam menjadikan industri sukan sebagai sumber pertumbuhan ekonomi baharu, kerajaan berhasrat untuk menambah baik ekosistem industri tersebut dan mempromosikan pelancongan sukan dengan menjadi tuan rumah atau menganjur acara sukan seperti sukan rekreasi, e-sukan dan sukan lasak.

Dokumen RMK12 itu, turut melaporkan bahawa walaupun terdapat peningkatan yang memberangsangkan dalam gaya hidup aktif dengan peningkatan dalam sukan massa daripada 59.8 peratus pada 2017 ke 63 peratus pada 2020, namun penyertaan iklusif kurang memuaskan, selain kebolehcapaian dan penyelenggaraan kemudahan sukan juga masih rendah.

Prestasi atlet kebangsaan yang tidak konsisten dan kekurangan bakat baharu juga telah menjejaskan kemajuan SPT dan usaha untuk mewujudkan kumpulan atlet elit.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )