
Ronaldo penjaring terbanyak liga utama Serie A, Sepanyol dan England
MILAN: Cristiano Ronaldo mencipta satu lagi sejarah pada Ahad apabila menjadi pemain pertama menamatkan musim sebagai penjaring terbanyak dalam tiga liga utama di Eropah – England, Sepanyol dan Itali.
Penyerang berusia 36 tahun itu menjaringkan 29 gol musim ini, lima gol lebih banyak berbanding pencabar terdekat, Romelu Lukaku dari kelab juara liga, Inter Milan.
Ronaldo muncul penjaring terbanyak di England ketika beraksi bersama Manchester United pada 2008 dan beliau menjadi penjaring terbanyak sebanyak tiga kali di Sepanyol ketika beraksi bersama Real Madrid – pada 2011, 2014 dan 2015.
Tetapi ia adalah kali pertama dalam tiga musim di mana bekas pemenang Ballon d’Or itu menjaringkan gol terbanyak.
Beliau menjaringkan 21 gol pada musim pertama menyertai Juventus pada 2018 dan 31 gol pada musim lepas, di belakang penjaring terbanyak, Ciro Immobile dari Lazio dengan 36 gol.
Dalam semua pertandingan, beliau sudah menjaringkan 101 gol bersama Juventus.
Pada Ahad, beliau kekal di bangku simpanan pada perlawanan terakhir Juventus musim ini apabila menewaskan Bologna 4-1 untuk mengesahkan kelayakan ke Liga Juara-Juara musim hadapan.
Ada spekulasi tentang masa depan Ronaldo sekiranya Juventus gagal layak ke Liga Juara-Juara buat kali pertama sejak 2012, terutama sekali selepas penguasaan sembilan tahun muncul juara liga diakhiri oleh kemenangan Inter Milan.
— Agensi