Ruang Bicara Bernama TV – COVID-19 Jaminan Keselamatan Makanan -Dr. Ronald Kiandee

YB Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee Menteri Kementerian Pertanian dan Industri Makanan

 

PUTRAJAYA 7 April – Tindakan konsisten jamin bekalan makanan cukup Portal Kementerian Pertanian dan Industri Makanan menyatakan bekalan makanan seperti beras, daging, ikan dan sayur berada pada tahap stabil serta mencukupi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Bekalan ini ditampung pengeluaran domestik dan import. Hubungan diplomatik melalui dasar luar negara terbukti mustahak bagi kelangsungan bekalan makanan, selain pengeluaran domestik.

Justeru, rakyat Malaysia tidak perlu risau dan hanya perlu akur arahan kerajaan bagi mengekang rantaian penularan COVID-19. Indikator Global Food Security Index 2018 meletakkan Malaysia pada kedudukan ke-40 daripada 113 negara dan berada pada tahap selamat bagi ketersediaan serta kebolehcapaian kestabilan bekalan makanan. Lantaran itu, komitmen kerajaan dalam pelaksanaan polisi secara konsisten melalui Dasar Pertanian Negara Ketiga (1998-2010) dan Dasar Agromakanan Negara (2011-2020) memastikan bekalan makanan mencukupi pada waktu getir ini. Kedua-dua dasar ini meletakkan industri agromakanan ke tahap produktiviti tinggi dan berdaya saing.

Oleh itu, suntikan dana pakej rangsangan ekonomi dalam kluster jaminan makanan yang diumumkan ialah strategi pintar dan tepat. Ia bakal meningkatkan penggandaan usaha dalam penghasilan sumber makanan domestik dan kelangsungan keselamatan makanan untuk berada pada tahap stabil.

Perdana Menteri mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dengan peruntukan RM1 bilion sebagai Dana Jaminan Makanan bagi tujuan kelangsungan rantaian bekalan makanan kepada rakyat supaya bekalan makanan sentiasa mencukupi dan berada pada tahap mampan. Ini mengelakkan pembelian panik dan penggandaan stok bekalan makanan. Jika wujud situasi panik, pelaksanaan PKP secara efektif bakal terjejas, pembaziran berlaku dan harga bekalan di pasaran membebankan rakyat. Sepanjang tempoh COVID-19, pemantauan berterusan agensi penguatkuasaan amat diperlukan bagi memastikan keselamatan dan kecukupan makanan untuk semua.

Oleh itu, tindakan konsisten perlu terus dilaksanakan seperti pemerhatian dekat harga pasaran bekalan makanan di lapangan, penyampaian maklumat jelas dan telus, memudah cara khidmat membantu petani, penternak dan peladang. Dengan ini, penghasilan produk pertanian secara berterusan dan peningkatan inovasi pemasaran bahan pertanian dapat dijamin agar bekalan sumber makanan sampai ke rakyat. Kerjasama kementerian dan industri berkaitan petani, penternak dan nelayan perlu dipuji kerana mereka ‘wira negara’ sebagai barisan hadapan dengan mengambil risiko berada di persekitaran luar.

Wira negara dalam sektor pertanian ini membekalkan tenaga kerja bagi penghasilan sumber makanan kepada semua lapisan masyarakat. Usaha ini bagi memenuhi aspek asas kehidupan rakyat sentiasa terjamin dengan membekalkan sumber makanan mencukupi dan mampu dimiliki sepanjang waktu pandemik ini. Seperti kata Perdana Menteri dalam situasi ‘berperang’ dengan COVID-19, rakyat perlu bekerjasama agar berjaya melepasi keadaan getir dan meletakkan negara pada landasan cemerlang.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )