Rumah ibadat bukan Islam di P.Pinang boleh beroperasi 7.00 pagi – 10 malam

Rumah ibadat bukan Islam di P.Pinang boleh beroperasi 7.00 pagi – 10 malam

GEORGE TOWN,. Rumah ibadat bukan Islam di Pulau Pinang dibenarkan beroperasi bermula dari pukul 7.00 pagi hingga 10 malam sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, Chong Eng berkata bagi sambutan Deepavali Sabtu ini, penganut Hindu dibenarkan untuk mengadakan upacara sembahyang pada hari berkenaan bermula dari pukul 5.00 pagi hingga 10 malam.

Menurutnya bagi sesi upacara sembahyang pada sehari sebelum dan sehari selepas Hari Deepavali, waktu operasi bermula dari pukul 7.00 pagi hingga 10 malam.

“Ahli Jawatankuasa rumah ibadat, ketua agama dan penganut dinasihatkan untuk sentiasa mengamalkan kebiasaan baharu dan disiplin kendiri. Setiap rumah ibadat adalah bertanggungjawab dalam menilai dan mengurangkan risiko agar para penganut dapat beribadat dengan selamat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata kerajaan negeri telah menetapkan garis panduan lanjut dan lebih terperinci selepas aktiviti keagamaan di rumah ibadat bukan Islam dibenarkan mengikut had kehadiran yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri.

“Rumah ibadat beroperasi dengan had maksima 30 orang tertakluk kepada keluasan ruang rumah ibadat dengan penjarakan fizikal satu meter wajib dipatuhi. Hanya aktiviti sembahyang dibenarkan di rumah ibadat, oleh itu aktiviti berjadual seperti kelas keagamaan dan kebudayaan tidak dibenarkan sepanjang tempoh PKPB ini,” katanya.

Chong Eng berkata aktiviti jamuan, makan di rumah ibadat serta perhimpunan yang ramai dan sukar dikawal adalah tidak dibenarkan. Penganut juga perlu terus bersurai selepas aktiviti sembahyang dan dilarang berkumpul di kawasan rumah ibadat.

Selain itu, beliau berkata prosedur operasi standard (SOP) am seperti penyediaan log pendaftaran penganut, pemeriksaan suhu badan, pemakaian pelitup muka, penyediaan sabun tangan dan cecair pembasmi kuman serta aktiviti pembersihan dan disinfeksi rumah ibadat secara berkala, harus sentiasa dipatuhi.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )