Rumah majlis hanya untuk disewa – Datuk Bandar KL

Rumah majlis hanya untuk disewa – Datuk Bandar KL

KUALA LUMPUR,. Rumah Majlis atau Council Home yang dibina atas inisiatif Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak boleh dijual beli sebaliknya hanya dibenarkan untuk sewaan, kata Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Mahadi Che Ngah.

Beliau berkata setiap unit kediaman rumah itu berkeluasan sekurang-kurangnya 750 kaki persegi yang berfungsi sebagai kediaman transit kepada warga kota sebelum berkemampuan membeli kediaman pertama.

“Buat masa ini, kita hanya benarkan untuk sewaan. Kalau unit kediaman itu dijual, nak cari stok (kawasan) baharu bukan senang. Harga tanah pula semakin tinggi.

“Ada kemungkinan satu ketika nanti tiada tanah baharu (untuk bina rumah) sedangkan mereka yang memerlukan (golongan B40 dan M40) kemudahan ini semakin bertambah pada setiap tahun,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan surat tawaran penyewaan /menduduki Residensi Sungai Udang, Segambut di sini pada Rabu.

Mahadi berkata warga kota yang layak akan ditawarkan untuk menyewa unit Rumah Majlis bagi satu tempoh transit tertentu dengan kadar harga sewaan bulanan yang lebih murah berbanding harga pasaran.

“Kita letak tempoh tiga tahun untuk sewaan sebelum dinilai semula kelayakan mereka dengan membuktikan pendapatan semasa,” katanya.

Beliau berkata tempoh transit yang diberikan adalah munasabah dan cukup untuk mereka mendapatkan pinjaman perumahan daripada institusi perbankan bagi tujuan pembelian rumah pertama.

Mahadi berkata sehingga kini, sejumlah 3,621 unit Rumah Majlis telah dan sedang dibina di empat tapak milik DBKL di sekitar ibu negara iaitu di Bandar Tun Razak, Bandar Baru Sentul dan Taman Desa Segambut.

Mengenai Residensi Sungai Udang, Segambut, Mahadi berkata pihaknya menerima lebih 800 permohonan daripada orang awam sejak Februari lepas, namun hanya 280 pemohon layak untuk menyewa.

“Tinggal lebih 600 unit untuk dimohon oleh orang awam selain 224 unit lagi disediakan sebagai kuarters bagi kakitangan DBKL,” katanya
Residensi Sungai Udang, Segambut terdiri daripada tiga blok bangunan yang menawarkan 1,251 unit kediaman berkeluasan 807 kaki persegi dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air selain dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti kolam renang, dewan serba guna, surau dan bilik pengurusan jenazah.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)