Rundingan pembahagian kerusi antara Bersatu, UMNO dan PAS berjalan baik – Ahmad Faizal

TANJUNG MALIM,. Rundingan antara Bersatu, PAS dan UMNO berhubung pembahagian kerusi untuk ditandingi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti berjalan dengan amat baik, kata Timbalan Presiden Bersatu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Beliau berkata hubungan antara ketiga-tiga parti juga baik dan tidak berkecamuk.

“Saya merupakan salah seorang perunding yang mewakili parti untuk berunding dengan wakil-wakil daripada UMNO dan PAS,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan Surat Tawaran Pembelian Rumah Perakku 1 Ulu Bernam Timur dan Rumah Perakku 1 Mukim Slim (Trolak) daerah Muallim di sini, hari ini.

Sehubungan itu, Menteri Besar Perak itu berkata dakwaan bahawa UMNO akan bertanding di semua kawasan ditandingi Bersatu pada PRU14 pada PRU15 nanti tidak mengeruhkan hubungan baik antara pemimpin ketiga-tiga parti.

Beliau mengulas dakwaan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai perkara itu menerusi blog beliau semalam.

Ahmad Faizal berkata isu berkenaan sengaja dibangkitkan pada saat-saat akhir menjelang hari mengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim esok bagi mengelirukan para pengundi untuk membuat pilihan.

Beliau meramalkan Barisan Nasional (BN) akan memperoleh kejayaan pada PRK itu yang akan memudahkan kerjasama antara Ahli Dewan Undangan Negeri Slim dengan kerajaan negeri untuk menjayakan pelbagai perancangan dan khidmat untuk penduduk DUN Slim.

PRK itu menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN Mohd Zaidi Aziz dengan dua calon Bebas iaitu peguam Amir Khusyairi Mohamad Tanusi mewakili Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) yang masih dalam proses pendaftaran serta bekas guru S. Santharasekaran.

Terdahulu, 98 orang menerima surat tawaran pembelian Rumah Perakku 1 untuk projek di Ulu Bernam Timur dan Mukim Slim pada majlis yang berlansung di Dewan Serbaguna Trolak Pekan di sini.

Ahmad Faizal berkata Rumah Perakku di Trolak dan Ulu Bernam terletak berhampiran dengan jalan utama, pekan dan kemudahan institusi tempatan, dibina dengan keluasan 860 kaki persegi di atas tanah berkeluasan 22 X 75 kaki persegi ditawarkan pada harga lebih rendah daripada harga pasaran.

Katanya sehingga kini sebanyak 3,043 unit rumah dalam proses prapembangunan di Muallim yang diusahakan oleh pelbagai agensi kerajaan seperti Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri (SSI), Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), Maju Perak dan Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM).

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )