Rusia dakwa AS cabuli ketetapan PBB
WASHINGTON,. Rusia pada Jumaat mendakwa Amerika Syarikat (AS) mencabuli ketetapan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) merujuk kepada perjanjian nuklear Iran, isu Palestin dan perang Libya.
Agensi berita Anadolu melaporkan Menteri Luar Rusia, Sergey Lavrov berkata, serangan terhadap undang-undang antarabangsa sampai ke tahap membimbangkan ketika dia mensasarkan Washington kerana menarik diri daripada Pelan Tindakan Menyeluruh Bersama (JCPOA) yang dikenali sebagai perjanjian nuklear Iran.
“AS menarik diri daripada JCPOA, yang diluluskan Ketetapan PBB menerusi resolusi 2231, enggan melaksanakan tanggungjawabnya dan mula menuntut negara lain supaya bertindak mengikut peraturan mereka serta mensabotaj pelaksanaannya,” katanya pada Perhimpunan Agung PBB pada Jumaat.
Pada Mei 2018, Presiden Donald Trump menarik diri daripada perjanjian antara kuasa nuklear dunia dengan Iran bagi mengekang program nuklear negara itu sebagai tukaran kepada bantuan berbilion dolar selepas negara Teluk Parsi itu dikenakan sekatan ekonomi.
Lavrov berkata, Washington turut menggugat ketetapan PBB berkaitan kerangka perundangan antarabangsa berkaitan isu pelan damai Timur Tengah.
“Ia mencadangkan supaya menunggu apa yang dikatakan ‘Perjanjian Alaf’ tetapi pada masa sama membuat keputusan sendiri mengenai Baitulmaqdis dan Bukit Golan,” katanya.
Beliau merujuk kepada tindakan Washington mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel dan tindakan Israel mengilhak atau merampas kawasan Bukit Golan.
Katanya, penyelesaian berkaitan pembentukan dua negara adalah ‘satu langkah penting yang dapat memuaskan aspirasi sah rakyat Palestin serta dapat memberi keselamatan kepada Israel dan rantau itu’.
Bagaimanapun Lavrov memberi amaran, penyelesaian yang tidak kunjung tiba, pasti akan mengundang bahaya ekoran tindakan AS itu.
Beralih kepada isu keganasan di Libya, negara yang kaya dengan minyak itu terus dalam keadaan huru-hara sejak 2011 selepas negara anggota Nato mengebom negara itu serta secara terang terangan mencabuli ketetapan PBB.
Negara anggota Nato,”yang juga patuh kepada logik peraturan mereka yang berasaskan perintah yang diberikan, mengakibatkan Libya musnah”, katanya.
Beliau berkata, negara Afrika amat terkesan akibat ‘penerokaan Nato’ dan mendakwa sesetengah negara melindungi pengganas, malah bekerjasama dengan mereka seperti apa yang berlaku di Afghanistan, Libya dan Syria.”
— BERNAMA