Rusuhan antara kaum, New Delhi masih tegang

Rusuhan antara kaum, New Delhi masih tegang

NEW DELHI,. New Delhi kekal berada dalam keadaan tegang selepas rusuhan selama tiga hari, manakala rumah dan kedai milik komuniti beragama Islam terus menjadi sasaran keganasan.

Seramai 27 individu disahkan maut setakat ini dalam rusuhan terburuk di ibu negara India itu, dalam tempoh beberapa dekad.

Pertempuran kali pertama tercetus Ahad lalu, susulan bantahan ke atas undang-undang kerakyatan yang penuh kontroversi.

Ia kemudian merebak menjadi pertelingkahan antara agama, yang menyaksikan ramai penduduk Islam menjadi sasaran.

Foto, video dan hantaran di media sosial dipenuhi dengan imej mengerikan sejak beberapa hari lalu, kebanyakannya memaparkan bagaimana samseng Hindu membelasah penduduk tidak bersenjata, termasuk media dan pertempuran antara penganut mewakili kedua-dua agama.

Akses ke kawasan terjejas turut dihadkan sejak Selasa lalu, dengan jumlah kematian mencakupi mangsa beragama Hindu dan Islam.

Mahkamah Tinggi Delhi yang mendengar petisyen berhubung keganasan itu berkata, mereka tidak boleh membiarkan tragedi 1984 berulang, apabila lebih 3,000 penganut agama Sikh terbunuh dalam rusuhan anti Sikh di ibu negara.

Perdana Menteri, Narendra Modi dalam satu hantaran di Twitter semalam merayu orang ramai untuk kembali mewujudkan keamanan di bandaraya berkenaan.

Pemimpin pembangkang, Sonia Gandhi pada masa sama mendesak Menteri Dalam Negeri, Amit Shah untuk berundur kerana mendakwa, beliau bertanggungjawab atas tragedi itu.

Ketua Menteri New Delhi, Arvind Kejriwal pula menggambarkan situasi terbabit sebagai membimbangkan dan menuntut campur tangan pihak tentera.

Rusuhan itu kebanyakannya bertumpu di kawasan kejiranan majoriti Islam seperti Maujpur, Mustafabad, Jaffrabad dan Shiv Vihar di timur laut Delhi. – Agensi

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )