Sabah anjur Pelancaran Bulan Kebangsaan dengan SOP, normal baharu 28 Julai ini

Sabah anjur Pelancaran Bulan Kebangsaan dengan SOP, normal baharu 28 Julai ini

KOTA KINABALU, 20 Julai — Sabah akan menganjurkan Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2020 peringkat negeri pada 28 Julai ini dengan menerapkan normal baharu termasuk mematuhi prosedur operasi standard ditetapkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Safar Untong berkata pematuhan SOP itu termasuk mengehadkan tetamu jemputan kepada 250 orang pada pelancaran yang akan diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah tersebut.

“Terdapat sedikit kelainan pada sambutan majlis pelancaran (bulan kebangsaan) dan Kibar Jalur Gemilang pada tahun ini memandangkan kita masih berada dalam fasa PKPP. Jika sebelum ini ada (aktiviti) konvoi kibar Jalur Gemilang dan orang ramai dijemput untuk bersama-sama memeriahkannya, namun pada tahun ini ditiadakan.

“Pada tahun ini, sambutan diadakan di dalam dewan dan tetamu jemputan juga dihadkan. Keutamaan kita adalah untuk menyeru masyarakat supaya bersama-sama mengibarkan Jalur Gemilang di premis dan kediaman masing-masing,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa induk majlis itu di sini, hari ini.

Beliau berkata Jawatankuasa Induk Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2020 peringkat negeri dipengerusikan bersama Setiausaha Persekutuan Sabah Datuk Samsuni Mohd Nor bagi memastikan kelancaran majlis berkenaan.

Safar berkata pelancaran peringkat negeri itu akan menyusuli amanat Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang di Putrajaya pada 28 Julai ini.

Orang ramai boleh mengikuti penstriman langsung majlis pelancaran itu menerusi Facebook dan Youtube yang akan dikendalikan oleh Jabatan Perkhidmatan Komputer Sabah, selain siaran langsung menerusi saluran televisyen RTM dan stesen radio Sabahfm serta SabahVfm, katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)