Sabah FC kongsi mata dengan pendahulu Liga Super, JDT

Sabah FC kongsi mata dengan pendahulu Liga Super, JDT

KUALA LUMPUR,. Sabah FC berhasil mengikat mata kedudukan dengan pasukan pendahulu, Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas menumpaskan Penang FC 4-2 dalam aksi Liga Super di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang malam ini.

Skuad The Rhinos terlebih dahulu membuka jaringan pada minit ke-23 menerusi tandukan Baddrol Bakhtiar, sekali gus meletakkan pasukan Sabah di depan.

Bersambung babak kedua, tuan rumah bangkit menyamakan kedudukan menerusi jaringan gol T. Saravanan pada minit ke-51.

Tersentak dengan jaringan itu, Sabah menggandakan asakan dalam usaha mencari gol dan Jackson De Souza kembali meletakkan pasukan itu di depan menerusi jaringan pada minit ke-57.

Selang tiga minit, Baddrol melakukan ‘overhead kick’ untuk gol ketiga Sabah.

Skuad bimbingan Ong Kim Swee itu melakukan lebih banyak serangan serta berjaya menjaringkan gol menerusi sepakan Stuart John Wilkin pada minit ke-66.

Pada minit ke-76, Hilal El-Helwe kemudian merapatkan kedudukan untuk Penang FC.

Keputusan 4-2 kekal berpihak kepada Sabah sehingga wisel penamat ditiup sekali gus meletakkan pasukan itu berkongsi 15 mata dengan JDT di carta Liga Super dengan perbezaan perlawanan.

Penjaga gol Sarawak United FC Sharbinee Allawee Ramli menepis tendangan kencang pasukan Kuala Lumpur City FC pada saingan Liga Super di Stadium Negeri, Kuching semalam. – Gambar BERNAMA
Di SARAWAK dalam satu lagi aksi Liga Super, Kuala Lumpur (KL) City FC menewaskan Sarawak United 2-1 di Stadium Negeri, Kuching.

Sarawak membuka jaringan menerusi S. Chanturu pada minit ke-15 sebelum KL menyamakan jaringan menerusi Paulo Josue pada minit ke-36 diikuti jaringan kemenangan J. Partiban pada minit ke-89.

Di KEDAH, Kedah Darul Aman (KDA) FC sekadar mencatatkan keputusan seri 0-0 menentang Negeri Sembilan FC di Stadium Darul Aman, Alor Star.

Sementara itu dalam aksi tunggal Liga Premier, UiTM FC berhasil memperoleh kemenangan sulung selepas menundukkan Skuad Projek FAM-MSN 1-0 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras.

UiTM memperoleh gol tunggal hasil jaringan Amirul Aiman Ibrahim pada minit ke-43 sekali gus merupakan tiga mata penuh diraih mereka dalam kancah liga tersebut.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)